LOS ANGELES, 26 MEI – Anthony Davis dan LeBron James membantu juara NBA, Los Angeles Lakers bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Phoenix Suns 109-102 dan menyamakan kedudukan siri playoff kepada 1-1.
Davis berkata dia menyalahkan dirinya selepas hanya menjaringkan 13 mata semasa kekalahan Lakers 99-90 dalam perlawanan pertama daripada tujuh pertemuan di Western Conference pusingan pertama.
Dia tidak akan membenarkan perkara tersebut berulang kembali.
Davis menjaringkan 34 mata dan 10 rebound, tujuh assist dan menghalang tiga percubaan. “Saya mahu memastikan saya memberikan sesuatu dalam perlawanan ini, keluar bermain dengan lebih bertenaga dari segi serangan dan pertahanan,” katanya.
LeBron James menambah 23 mata, mencatatkan empat rebound dan sembilan assist ketika Lakers menyamakan kedudukan di Phoenix.
Duo bintang tersebut menjaringkan 16 daripada 18 mata terakhir dan Los Angeles kembali bangkit semasa akhir perlawanan selain daripada kebangkitan pemain veteran Chris Paul – yang masih terkesan akibat kecederaan bahu kanan yang dialaminya semasa perlawanan pertama dan dikeluarkan awal.
James menjaringkan mata dengan perlawanan berbaki 2:55 untuk meletakkan Lakers di hadapan dengan 95-92 dan Davis menyusuli menerusi percubaan tiga mata dan lontaran percuma menjarakkan jurang kepada 100-92 ketika aksi Suns mula menurun.
Lakers memulakan perlawanan dengan penuh keazaman dan mendahului 30-24 selepas suku pertama dan 53-47 pada separuh masa. – AFP
