Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Lakers pilih Bronny James

    NEW YORK, 28 JUN – Bronny James, anak lelaki berusia 19 tahun kepada bintang Los Angeles Lakers, LeBron James, telah dipilih sebagai pemain keseluruhan ke-55 oleh Lakers pada pusingan kedua NBA Draft kelmarin, membentuk gabungan bapa-anak pertama dalam sejarah NBA.

    Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi Pemain Paling Berharga NBA empat kali, James, yang mengatakan bahawa selama bertahun-tahun dia bermimpi bermain bersama anaknya.

    “Dalam sejarah NBA, tidak pernah ada bapa dan anak lelaki yang berkongsi gelanggang bola keranjang NBA,” kata pengurus besar Lakers, Rob Pelinka. “Ia terasa seperti sesuatu yang sungguh istimewa,” tekannya.

    LeBron, pemain Lakers berusia 39 tahun dan juara NBA empat kali, akan sibuk dengan pasukan Amerika Syarikat di Sukan Olimpik Paris bulan depan manakala anak lelakinya, Bronny dijangka akan menyertai Lakers dalam perlawanan Liga Musim Panas NBA di Las Vegas.

    LeBron James memuat naik foto di Instagram dengan kapsyen satu perkataan, ‘LEGACY!!!!!!’ dan imej dirinya bersama Bronny semasa kanak-kanak, di mana kedua-duanya sedang melompat dan satu foto lagi dengan bapa dan anak itu berdiri bersebelahan sambil memakai jersi Lakers.

    Bronny James, pemain pertahanan untuk University of Southern California, mencatatkan purata 4.8 mata, 2.8 rebound dan 2.1 assist untuk The Trojans musim lalu. – AFP

    Bronny bercakap dengan LeBron selepas Permainan McDonald’s High School Boys All-American 2023 di Toyota Center pada 28 Mac 2023 di Houston, Texas. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...