Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakers tundukkan Nuggets

    LOS ANGELES, 28 APRIL – Los Angeles Lakers, dipacu oleh jaringan 30 mata hasil pemain bintang, LeBron James, masih mempunyai harapan di playoff NBA kelmarin dengan kemenangan 119-108 ke atas Denver Nuggets.

    Ketinggalan 3-0 kepada juara bertahan dan berdepan penyingkiran, Lakers kekal bersaing, menangkis serangan triple-double daripada bintang Nuggets, Nikola Jokic untuk mengheret siri perlawanan kembali ke Denver untuk perlawanan kelima esok.

    Selepas Lakers kecundang meskipun mendahului dua digit semasa kekalahan dalam tiga perlawanan pertama, James menjaringkan 14 mata pada suku keempat untuk memastikan ia tidak berulang.

    “Saya suka suku keempat,” kata James. “Saya mengetahui masa semakin suntuk dan kami tidak mampu melakukannya menentang pasukan ini selepas tiga perlawanan.

    “Jadi malam ini saya mempunyai peluang untuk melakukannya dan saya mahu memberikannya,” tambah pemain berusia 39 tahun itu, yang menjaringkan enam daripada lapan percubaan dalam tempoh akhir, membuat kesalahan dan melakukan steal untuk menjaringkan dunk di hujung gelanggang lain.

    Tetapi juara NBA empat kali itu tidak bersedia untuk meraikan kemenangan pertama Lakers ke atas Denver dalam 12 pertandingan, sejak Disember 2022, kerana mengetahui bahawa tiada pasukan NBA telah bangkit daripada ketinggalan 3-0 untuk memenangi siri playoff.

    “Kami masih ketinggalan 3-1,” katanya. “Jadi setiap perlawanan akan menjadi cabarannya sendiri. Kami menyelesaikan tugas malam ini untuk melanjutkan siri perlawanan, tetapi kami perlu menjadi lebih baik.”

    Anthony Davis menambah 25 mata dan 23 rebound hebat untuk Los Angeles, manakala Austin Reaves dan D’Angelo Russell masing-masing menjaringkan 21 mata. – AFP

    Aksi LeBron James pada separuh masa kedua semasa perlawanan keempat playoff NBA pusingan pertama Western Conference di Crypto.com Arena pada 27 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda