Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laklalech tempah slot jelajah LPGA 2023

    WASHINGTON, 12 DIS – Menerima inspirasi daripada sejarah yang dicipta oleh tanah airnya dalam Piala Dunia, pemain golf Maghribi, Ines Laklalech turut mencipta sejarah apabila menempah satu tempat dalam Jelajah LPGA 2023 setelah berjaya mengharungi lapan peringkat pusingan kelayakan yang berakhir kelmarin.

    Laklalech mencatat satu atas par 73 pada pusingan akhir di Highland Oaks di Dothan, Alabama, untuk berakhir dengan 19 bawah par 555 dan berkongsi tempat ke-12.

    Walaupun mengakhiri pusingan kelayakan dengan pukulan yang paling teruk, jumlah keseluruhan pemain berusia 25 tahun dari Casablanca itu cukup untuk melayakkannya mengikuti Jelajah LPGA tahun depan.

    Laklalech mencatatkan rekod terbaiknya iaitu enam bawah 66, pada Sabtu, hari yang sama pasukan bola sepak kebangsaan, Atlas Lions menjadi negara Afrika dan pasukan Arab pertama untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia selepas menewaskan Portugal 1-0 di Qatar.

    “Saya merupakan penyokong kuat pasukan kebangsaan Maghribi, jadi saya berasa sangat gembira. Ia sememangnya memberikan saya semangat yang padu di padang,” kata Laklalech.

    Komen Jurulatih Maghribi, Walid Regragui mengenai sejarah yang dicipta oleh pasukan kebangsaan telah memberikan kesan kepada Laklalech semasa usaha mencapai kejayaannya.

    “Saya mengikuti rapat apa yang diceritakan oleh jurulatih kebangsaan mengenai pasukannya. Dan kata-katanya telah memberikan saya keyakinan bahawa apa-apa sahaja mampu dicapai. Itulah mentaliti mereka pada masa ini,” katanya.

    “Saya rasa itu semua bersangkut paut kerana saya telah melihat video sidang media setiap hari.”

    Laklalech menang Ladies Open de France dalam Jelajah Wanita Eropah (LET) pada bulan September, sekali gus menjadi orang Maghribi dan Arab yang pertama memenangi LET. – AFP

    Ines Laklalech bergambar bersama Pesuruhjaya Jelajah LPGA, Mollie Marcoux Samaan serta kad jelajahnya selepas pusingan akhir siri-Q LPGA 2022 di Padang Golf Highland Oaks, Dothan, Alabama. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda