Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakonan bakal jadi hobi, Amerul sasar bergelar pensyarah dalam setahun

    Memasang impian bergelar pensyarah, pelakon Malaysia, Amerul Affendi sedia melupakan dunia glamour demi merialisasikan cita-citanya.

    Kata Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, tidak mustahil satu hari nanti kerjaya sebagai pelakon bakal menjadi sekadar hobi mengisi masa terluang.

    Dia yang kini merupakan penuntut Sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak meletakkan sasaran tempoh setahun bagi mencapai hasratnya itu.

    “Iya, saya mahu menjadi pensyarah. Jika sekarang ‘kerja kampung’ dan berlakon. Mungkin nanti pensyarah dan pelakon pula tapi lakonan hanya hobi.

    “Selepas setahun mungkin saya akan perlahankan kerjaya seni. Sasaran saya mahu jadi pensyarah,” katanya kepada mStar.

    Amerul letakkan kerjaya seni sebagai hobi selepas bergelar pensyarah. – mStar

    Amerul memulakan pengajian dalam bidang seni persembahan sejak 14 April lalu di UPSI.
    Menurutnya sepanjang tempoh pengajian dia perlu lebih aktif kerana setiap hasil kerja dinilai sebelum dapat menggenggam sarjana.

    “Pengajian saya dinilai daripada segi pengalaman dan hasil kerja. Jadi saya memang teruja untuk segera tamatkan pengajian.

    “Saya tak boleh nak perlahankan kerjaya seni, malah kena lebih giat dan aktif. Penilaian markah adalah dibuat berdasarkan hasil kerja dalam industri.

    “Jika ada masalah pun tetap akan dinilai. Sebab setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian,” ceritanya.

    Bercakap lanjut, dia mahu mengejar cita-cita itu agar dapat berkongsi ilmu dengan mereka yang mahu mendalami bidang seni.

    Baginya memiliki sarjana adalah tiket terbaik untuk menunjukkan dia seorang berkredibiliti sebagai tenaga pengajar. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda