Sunday, February 23, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakonan mantap Farid Kamil sampai ke jiwa PM Malaysia

    Filem yang dinanti-nanti oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Anwar The Untold Story akhirnya mula menemui penonton.

    Filem yang berlatarbelakangkan tahun 1993 hingga 1998 itu mendedahkan kisah Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang berjuang secara konsisten menentang amalan rasuah sehingga mengakibatkan beliau disumbat ke dalam penjara.

    Anwar yang sempat menonton sendiri filem tersebut pada tayangan perdananya baru-baru ini menyifatkan sutradara dari Indonesia iaitu Viva Westi seorang yang pintar dan hebat kerana mampu menterjemahkan penceritaan 23 tahun kepada sebuah karya berdurasi 90 minit.

    Anwar bersama isterinya semasa menghadiri tayangan perdana filem Anwar, The Untold Story.

    Tidak hanya itu, Anwar berkata, Viva berjaya memasukkan semua sejarah penting yang berlaku pada zaman itu dengan baik sekali gus memberi pemahaman lebih mudah kepada penonton terutamanya dalam generasi muda.

    Lebih mengagumkan kata Anwar, babak di antaranya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dihasilkan dengan cermat selain perbualan yang panjang di antara mereka dirumuskan dengan tepat dan berhati-hati.

    “Perbualan yang panjang tetapi ia dirumuskan dengan tepat, kalau dipendekkan mana boleh 100 peratus sama.

    “Tapi konteks yang dibawa adalah benar dan segala tawaran diberikan juga adalah benar,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan terus membanteras gejala rasuah di Malaysia seperti mana dipaparkan dalam filem tersebut.

    Kata Anwar, beliau terharu kerana dapat mengimbau kembali episod penting dalam hidupnya serta memuji kebolehan pelakon terutamanya Farid Kamil yang berjaya membawa wataknya dengan cemerlang.

    “Ini cerita yang mesti diceritakan, perjuangan menentang rasuah perlu diteruskan. Sekarang saya menjadi Perdana Menteri, saya mahu menyelamatkan negara ini dan memerangi rasuah dan perangi ia bersungguh-sungguh,” katanya.

    Selain Farid, Anwar The Untold Story turut membariskan pelakon hebat Indonesia Acha Septriasa yang memainkan watak sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.- Agensi

    Farid Kamil menjadi pelakon utama memainkan watak Anwar Ibrahim.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda