Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laksana langkah awal pastikan tiket penerbangan tidak jadi bebanan

    KOTA KINABALU, 23 MAC – Penduduk Sabah di Kota Kinabalu memohon kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai langkah awal, supaya isu harga tiket penerbangan melambung ketika Aidilfitri tidak berulang seperti tahun-tahun sebelum ini.

    Namun, tanggungjawab itu tidak boleh disandarkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya syarikat penerbangan perlu memainkan peranan besar, serta syarikat swasta terutama berkaitan kerajaan (GLC) boleh turut membantu bagi memudahkan rakyat pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

    Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani berpendapat semua langkah itu termasuk intervensi dan subsidi, serta langkah promosi wajar dimulakan seminggu lebih awal daripada tarikh Aidilfitri tahun ini, bagi memudahkan rakyat mendapatkan tiket masing-masing dengan harga lebih rendah.

    “Subsidi yang diberikan kerajaan serta promosi yang dilakukan syarikat penerbangan adalah langkah tepat bagi mengatasi masalah ini, tetapi ia selalunya dilakukan sekitar tiga hari sebelum musim perayaan ketika waktu puncak.

    “Perlu panjangkan masa itu sehingga seminggu bagi beri lebih banyak pilihan tarikh untuk rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak ketika hampir Aidilfitri nanti,” katanya kepada Bernama.

    Nordin berkata bagi mengatasi waktu puncak itu juga Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan, diminta mencari jalan bagi menambah kapasiti penerbangan pada Aidilfitri bagi memenuhi permintaan penduduk di Kota Kinabalu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda