JAKARTA, 12 DIS – Indonesia telah melancarkan operasi pembenihan awan untuk mengurangkan kesan hujan lebat dan risiko banjir di Sukabumi dan Cianjur, Jawa Barat, sebagai langkah tindak balas kecemasan terhadap bencana berkaitan hujan.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) Abdul Muhari berkata tiga operasi telah dijalankan pada Rabu, dengan sejumlah tiga tan serbuk garam disebarkan di kawasan yang ditentukan di ruang udara wilayah itu.
“Setiap misi menyasarkan awan berpotensi hujan di kawasan barat daya hingga barat laut pada ketinggian 3,048 meter hingga 3,353 meter, menggunakan 1,000 kilogram serbuk NaCl,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi itu memfokuskan kepada awan berpotensi hujan yang bergerak ke arah kawasan berisiko tinggi, dengan matlamat untuk mengagihkan semula hujan ke zon kurang kritikal dan mengurangkan risiko banjir di kawasan rentan.
Operasi ini, yang diselaraskan dari pos kawalan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur, akan dijalankan 24 jam sehari dengan penerbangan siang dan malam, menggunakan sejumlah 50 tan serbuk garam.
BNPB bekerjasama dengan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Tentera Udara Indonesia, serta Kerajaan Wilayah Jawa Barat, dengan misi dijalankan menggunakan pesawat Cessna Caravan. – Bernama