Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laksana tindakan proaktif tangani AMR

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Rintangan antimikrob (AMR) merupakan situasi kesihatan awam yang kritikal di mana jangkitan-jangkitan tidak lagi memberi tindak balas kepada rawatan antimikrob. Hal ini sudah pun terjadi dalam semua jenis mikroorganisma, termasuk bakteria, virus, kulat dan parasit, dan berlaku pada kadar yang pantas.

    Mengambil kira perkara tersebut, AMR menjadi satu cabaran yang kompleks kepada keseluruhan pembangunan mampan sejagat yang menjejaskan bukan sahaja kemajuan semasa dari segi kesihatan manusia, malahan juga sektor lain seperti kesejahteraan dan keselamatan makanan, pembangunan ekonomi, ekuiti dan keadaan persekitaran juga turut terdedah. Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia (WAAW) pada tahun ini membawa tema Mendidik. Menyokong. Bertindak Sekarang yang merangkumi pendekatan holistik dan progresif terhadap AMR.

    Kempen global yang disambut setiap tahun dari 18 hingga 24 November ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kesedaran tentang AMR sebagai isu kesihatan global yang mendesak dengan impak sosioekonomi yang luas dan memberi kesan kepada kita semua.

    Perutusan sempena sambutan WAAW 2024 telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Sbdul Rashid.

    Pada tahun 2024, satu kajian penilaian komprehensif kali pertama telah dilaksanakan terhadap beban sejagat AMR dari tahun 1990 sehingga tahun 2021, iaitu, Global Burden of Bacterial Antimicrobial Resistance 1990-2021: A Systematic Analysis with Forecasts to 2050 telah mengkaji 22 patogen, 84 kombinasi patogen-ubat antimikrob dan 11 sindrom berjangkit di 204 negara dan wilayah. Kajian tersebut mendapatiberdasarkan analisis aliran masa, dianggarkan sebanyak 1.91 juta kematian adalah disebabkan AMR.

    Rintangan antimikrob menjadi satu cabaran yang kompleks kepada keseluruhan pembangunan mampan sejagat yang menjejaskan bukan sahaja kemajuan semasa dari segi kesihatan, malah sektor lain seperti kesejahteraan dan keselamatan makanan, pembangunan ekonomi, ekuiti dan keadaan persekitaran juga turut terdedah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Negara Brunei Darussalam telah menyertai gerakan sejagat secara aktif untuk menangani AMR di peringkat kebangsaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Manakala, dianggarkan sebanyak 8.22 juta kematian dikaitkan dengan AMR akan berlaku di seluruh dunia pada tahun 2050.

    Laporan Kumpulan Pemimpin Global mengenai AMR pada tahun ini menekankan tanpa tindakan yang lebih proaktif, AMR dijangka akan menurunkan jangka hayat sebanyak 1.8 tahun menjelang tahun 2035, dan akan membawa kepada perbelanjaan kesihatan dan kerugian ekonomi yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Kempen Minggu Kesedaran Rintangan Antimikrob Sedunia pada tahun ini telah pun mengikuti Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai AMR di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2024 pada September 2024.

    Ia mengesahkan komitmen global dalam menangani AMR dengan pendekatan pelbagai sektor memandangkan AMR terus merebak dan mengancam semua peringkat merentas kesihatan manusia, haiwan dan tumbuhan serta sektor alam sekitar.

    Negara Brunei Darussalam pula telah menyertai gerakan sejagat secara aktif untuk menangani AMR di peringkat kebangsaan. Pendekatan Satu Kesihatan, atau One Health, melalui pembentukan Jawatankuasa Rintangan Antimikrob Negara Brunei Darussalam pada tahun 2018, kini terdiri daripada keahlian kerjasama Quadripartite iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta Kementerian Pembangunan.

    Sejajar dengan Pelan Tindakan Global untuk AMR, BDAMRC telah mengesahkan Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) pertamanya untuk AMR pada tahun 2019.

    Negara Brunei Darussalam tidak bersendirian dalam cabaran pelaksanaan tindakan dalam menangani AMR. Pada tahun 2023, hanya sebanyak 27 peratus negara di seluruh dunia melaporkan telah melaksanakan pelan tindakan kebangsaan mereka dengan berkesan.

    BDMARC kini bergerak ke hadapan dalam merangka NAP seterusnya, dan ini adalah tepat pada masanya dan pada tahun ini, semua organisasi ahli Quadripartite kini telah menerbitkan keutamaan khusus dan tindakan khusus sektor.

    Kempen yang dianjurkan oleh BDAMRC dijadikan sebagai satu platform untuk mendidik dan memberi pembarigaan selaras dengan tema pada tahun ini, dengan prinsip keselamatan kesihatan sejagat Cegah, Kesan dan Tindakbalas.

    Kempen ini mengambil peluang untuk berinteraksi dengan orang awam dan pihak berkepentingan dalam memberikan kefahaman mengenai AMR dan isu-isu sehubungan dengannya.

    Selain mengadakan wawancara melalui televisyen dan radio, penyiaran pesanan kesihatan awam pelbagai sektor dalam pendekatan One Health melalui platform media sosial rasmi dan mengadakan jerayawara untuk pengalaman lengkap dengan peluang interaksi antara pihak berkepentingan dan orang ramai.

    Tindakan berterusan perlu dilaksanakan dan diteruskan di semua peringkat dan merentasi sektor, sejajar dengan saranan dan sasaran global dan serantau sebagai satu pelaburan yang memberi kesan yang positif untuk masa depan kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda