Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laksana transformasi digital menyeluruh ke arah mencapai cita Negara Pintar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Pendigitalan menyeluruh dalam sektor awam dan swasta, inovasi produk tempatan serta peningkatan kemahiran digital menjadi antara fokus utama dalam memastikan keberhasilan Wawasan Brunei 2035, tekan Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir semasa membahaskan Usul Wawasan Brunei 2035 di Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi tahun 2025.

    Yang Berhormat Haji Sulaiman. – Gambar oleh Rafi Rosli

    Yang Berhormat Haji Sulaiman menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan pentingnya pelaksanaan gerak kerja ke arah menjadikan Brunei sebuah negara maju menjelang 2035, termasuk menangani cabaran-cabaran global yang semakin mencabar.

    Menurutnya, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian termasuklah revolusi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah landskap sosial dan ekonomi secara mendalam. Tiga isu utama yang dikenal pasti ialah perubahan drastik dalam jenis pekerjaan, ketidaksamaan akses digital, dan keperluan kepada kemahiran baharu sejajar dengan era digital.

    “Banyak pekerjaan konvensional kini telah digantikan oleh automasi dan teknologi pintar. Ini menuntut kemahiran teknikal dan digital yang lebih tinggi, manakala golongan yang tidak mempunyai akses teknologi berisiko ketinggalan,” ujar beliau.

    Beliau menegaskan jika cabaran ini tidak ditangani dengan strategi yang jelas, ia boleh menjejaskan tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi, ekonomi dinamik dan berdaya tahan serta kualiti hidup yang tinggi.

    Bagi menghadapi cabaran tersebut, beliau mengusulkan pelaksanaan Pelan Transformasi Digital menyeluruh yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, malah memacu pertumbuhan ekonomi digital negara selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

    Antara langkah utama yang dicadangkan termasuk pendigitalan perkhidmatan kerajaan (e-Government) yang lebih mesra pengguna dan telus, Penggunaan AI dan Big Data dalam membuat keputusan, peningkatan literasi digital dalam kalangan penjawat awam dan sektor swasta, kerjasama awam-swasta dalam membangunkan infrastruktur digital dan penekanan kepada keselamatan siber untuk melindungi data rakyat dan negara.

    Beliau turut menekankan transformasi digital perlu dilaksanakan secara inklusif dan selamat, terutama kepada golongan rentan seperti penduduk luar bandar, warga emas dan belia.

     “Kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan, swasta, institusi pendidikan dan masyarakat adalah penting untuk menjadikan Brunei sebuah Negara Pintar yang bukan sahaja maju teknologi, tetapi juga beretika dan memberi manfaat menyeluruh,” jelasnya.

    Dalam perbahasan berkenaan, Yang Berhormat Haji Sulaiman turut menekankan kepentingan inovasi produk tempatan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

    Usaha ini merangkumi meningkatkan produktiviti industri tempatan melalui teknologi digital, memperluas kebolehpasaran produk “Made in Brunei” ke peringkat global melalui platform digital, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang lebih lestari dan berdaya saing serta melahirkan lebih ramai usahawan digital melalui program inkubator dan geran sokongan.

     “Transformasi digital akan memberi ruang luas kepada rakyat Brunei, khususnya belia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berdaya saing di pasaran global sambil mengekalkan jati diri,” tambahnya.

    Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan transformasi digital bukan sekadar inisiatif teknologi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara secara menyeluruh menuju matlamat Wawasan Brunei 2035.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda