Laksanakan amalan operasi selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) telah membangkitkan beberapa kebimbangan dan pelanggaran peraturan di beberapa tapak pembinaan susulan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankannya, baru-baru ini.

Antara kebimbangan yang dinyatakan oleh SHENA dalam kenyataan yang diberikan, hari ini, termasuk kekurangan pengurusan bencana am dan penilaian risiko di tapak pembinaan serta ketiadaan prosedur operasi standard (SOP), tindak balas kecemasan dan pelan-pelan keselamatan lain bagi aktiviti-aktiviti berisiko tinggi.

Selain itu, penyelenggaraan dan persijilan kren dan kelengkapan yang tidak mencukupi, kurangnya kesedaran HSE, amalan perhubungan dan penyeliaan tapak yang tidak baik dan amalan-amalan dalam aktiviti perancahan yang tidak mematuhi peraturan.

Malah terdapat kekurangan peruntukan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai bagi semua pekerja; pekerja, pengendali kren dan kakitangan penting keselamatan lain yang tidak terlatih dan amalan penggunaan alat elektrik dan perkakasan yang tidak selamat.

Sehubungan dengan ini, SHENA mengingatkan semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan pembinaan mengenai kebertanggungjawaban mereka di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan menasihatkan mereka menilai semula amalan-amalan operasi selamat bagi memastikan mereka melaksanakan amalan-amalan industri yang baik.

Para pegawai WSH dan penasihat HSE bergambar ramai selepas forum yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Angerek Desa, baru-baru ini.

Kenyataan menyatakan, pemeriksaan dan siasatan di tapak pembinaan berkenaan merupakan penglibatan berterusannya dengan pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan Brunei tempat yang selamat untuk bekerja dan tinggal.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, SHENA juga telah mengadakan Forum Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSH) yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, kelmarin.

Forum yang dihadiri oleh pegawai-pegawai WSH serta penasihat HSE daripada pelbagai pertubuhan di negara ini, diadakan bagi menekankan peranan dan tanggungjawab pegawai-pegawai WSH.

Antara objektif forum adalah untuk memberikan pemahaman lebih baik mengenai peranan dan fungsi SHENA selain meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan mengekalkan kesedaran tinggi terhadap HSE di tempat kerja.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk memberikan gambaran mengenai undang-undang bagi pegawai-pegawai WSH dan menyediakan platform bagi pihak berkepentingan berinteraksi dan membangkitkan kebimbangan mengenai HSE.