Wednesday, November 20, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakukan hobi mampu kurangkan stres

    Oleh Raz AS

    Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘hobi’ membawa maksud kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang dan bukan pekerjaan yang utama.

    Ini bermaksud apa sahaja kegiatan yang sering kita lakukan semasa waktu lapang, tidak kiralah bersukan, bertukang, memasak, berkebun, memancing dan lain-lain, selagi mana kita gemar melakukannya, membantu melepaskan stres dan tekanan daripada kerja seharian itulah hobi kita.

    Semasa kanak-kanak, kita sering mengisikan masa lapang kita dengan pelbagai aktiviti, kita suka mencuba sesuatu yang baharu, mencari-cari apakah aktiviti seronok yang dapat kita buat setiap hari. Namun semakin kita meningkat dewasa kesibukan mula terasa membelenggu kehidupan.

    Sama ada sibuk dengan pengajian, pekerjaan, urusan rumah tangga, anak-anak dan lain-lain, masa lapang yang kita ada terasa terhad. Menghadapi kehidupan yang sibuk saban hari menyebabkan rasa letih ‘bertakung’ di dalam diri. Kesudahannya masa lapang yang ada hanya diisikan dengan berehat sahaja. Oleh itu tidak hairanlah, apabila ditanya ‘apa hobi?’, ramai juga yang menjawab entah, makan atau tidur.

    Rehat yang cukup sememangnya tidak dinafikan sangat penting untuk kesihatan, namun begitu menurut kajian, mengisi masa lapang dengan hobi memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan fizikal dan mental kita.

    Berkebun merupakan salah satu hobi yang sering dilakukan semasa waktu lapang. – Agensi
    Kajian mengatakan terlalu lama menghadap skrin akan mempunyai kualiti tidur yang rendah. – Agensi

    Kajian yang dijalankan oleh Australian Psychological Society, mendapati bahawa orang yang mempunyai hobi akan mempunyai risiko rendah untuk menghidap stres, kehilangan mood dan kemurungan, selain meningkatkan lagi kegembiraan.

    Selain itu, artikel-artikel kajian yang diterbitkan di dalam Leisure Science, Jilid 39, menyatakan hobi-hobi yang berkaitan dengan kreativiti, seperti menulis, membuat lagu, menganyam dan sebagainya bukan sahaja meningkatkan daya kreativiti kita bahkan kesejahteraan kita sehingga keesokan harinya.

    Melibatkan diri dalam hobi berkumpulan pula akan dapat menyokong pemulihan masalah kesihatan mental dengan meningkatkan rasa percaya diri dan perhubungan sosial. Seramai 1.35 juta orang dewasa di Australia yang selalu meluangkan masa bermain sukan berkumpulan mempunyai kemungkinan yang rendah untuk menghadapi stres dan kemurungan berbanding lainnya.

    Manakala, kajian yang dijalankan oleh sepasukan pengkaji dari universiti Kansas, Pittsburgh dan Texas, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2010, mendapati bahawa seseorang yang meluangkan lebih banyak masa dengan hobinya akan mempunyai tidur yang lebih nyenyak, berat badan yang lebih rendah serta kurang risiko menghidapi tekanan darah tinggi dan penyakit berbahaya.

    San Francisco State University, berdasarkan kajian yang dijalankan ke atas seramai 450 orang tenaga kerja termasuk anggota tentera mendapati bahawa mereka yang meluangkan masa de- ngan hobi kreatif adalah lebih baik dan tenang dalam mengatasi masalah di tempat kerja, sesetengah daripada mereka pula mendapat kemahiran baharu yang boleh diaplikasikan dalam pekerjaan mereka.

    Berdasarkan kajian-kajian tersebut, jelaslah bahawa mempunyai hobi itu penting. Keseimbangan hidup itu adalah sangat penting.

    Kita sering ‘dibasuh’ dengan idealogi produktiviti. Kita diajar agar sentiasa produktif semenjak bangku persekolahan lagi, bermain-main dikatakan sebagai membuang masa, hasilnya kita menyusun kehidupan seharian kita di sekitar pekerjaan kita.

    ‘Malas ku’ bersukan, memancing, berkebun dan sebagainya, kerana ‘sibuk ku’ atau ‘ngalih ku, esok keraja’.

    Sesetengah orang beralasan bahawa tiadanya masa untuk mempunyai hobi, setiap orang mempunyai 24 jam dalam sehari, 168 jam dalam seminggu, sesibuk mana sekalipun pasti ada masa yang dapat diperuntukkan bagi kita menjalani hobi.

    Elakkan daripada menjadikan aktiviti menghadap skrin sebagai sebahagian daripada hobi, kajian mengatakan orang yang terlalu lama menghadap skrin akan mempunyai kualiti tidur yang rendah. Setentunya awda tidak mahu rasa letih menyambut keesokan hari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda