Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakukan ibadah mengikut syariat

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, kita mestilah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam syariat Islam, jika amalan kita tidak mengikut syarat yang ditetapkan, ia akan hanya menjadi perbuatan yang sia-sia saja.

    Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyentuh mengenai perkara itu seterusnya menjelaskan antara syarat penting ialah niat sebelum melakukan sesuatu perkara kerana dengan niat, ia mampu membezakan antara amal ibadat dengan amalan biasa atau adat.

    Selain itu, amalan yang dibuat hendaklah tidak melanggar hukum syarak, jika berniaga misalnya, barang jualan hendaklah halal dan mengikut hukum syarak mahupun undang-undang negara seperti menghindari menjual makanan dan minuman yang haram, barang curi, barang palsu, barang subahat, barang ditegah pihak kastam dan sebagainya.

    “Jualan yang melanggar peraturan syarak atau negara, walau dengan niat yang betul sekali pun, amalan tersebut tetap tidak diterima oleh Allah S.W.T”, tegasnya.

    Menurut khatib, perlaksanaan dalam setiap perkara mestilah mengikut peraturan lebih-lebih lagi jika ingin melakukan ibadat yang perlu difahami peraturan supaya benar-benar berada di landasan syariat yang Allah S.W.T telah tetapkan.

    Khatib juga menjelaskan amal ibadat hendaklah dilakukan dengan penuh kesungguhan bagi memastikan amalan memberikan natijah kepada pelakunya.

    Natijah di sini merupakan hasil yang baik diusahakan individu terbabit yang bakal mendapat nikmat daripada Allah S.W.T. Mereka yang menerima nikmat ini pula hendaklah bersyukur kepada Allah S.W.T dan janganlah menyombong, bangga diri dan riak dengan hasil dan amal ibadat yang dilakukan. Ia juga boleh dimanfaatkan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara seperti menyeru membuat amar makruf dan mencegah kemungkaran, kata khatib.

    Khatib seterusnya menambah, dalam usaha untuk menjadikan amalan seharian sebagai satu ibadat, janganlah juga lupa dua perkara utama yang menjadi asas ibadat itu iaitu Rukun Iman dan Rukun Islam di mana ia merupakan sandaran untuk menegakkan amalan yang lain.

    “Jangan disebabkan terlalu sibuk berniaga, menyebabkan kita lalai dan meninggalkan sembahyang fardu dan tidak berpuasa di bulan Ramadan dan tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat, terlibat dengan pergaulan bebas dan sebagainya,” tegasnya.

    Sehubungan itu, dalam menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah di muka bumi ini, khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama muhasabah diri sejauh mana kita dapat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dengan membuat amal kebajikan di dunia ini dan sejauh mana amal ibadat yang dilakukan selama ini akan diterima olehNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda