Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakukan persiapan awal hadapi musim peperiksaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Mungkin kita pernah mendengar Man jadda wajada, salah satu mutiara kata dari Bahasa Arab yang bermaksud barang siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berhasil.

    Sungguh benar dan hebat ungkapan motivasi ini jika kita memahaminya secara mendalam lebih-lebih lagi bagi para pelajar dalam menempuhi alam peperiksaan.

    Peperiksaan merupakan asas penilaian yang penting untuk setiap pelajar tidak kiralah peringkat rendah, menengah mahu pun pengajian tinggi, pada saat itulah prestasi pelajar dapat dinilai dan diperbaiki dari semasa ke semasa, namun tanpa persediaan yang rapi, peluang untuk mendapat keputusan cemerlang adalah sangat tipis.

    Lakukan persediaan awal dengan bijak

    Hakikatnya, amat penting para pelajar untuk membuat persediaan awal dan bak kata perambahan Brunei janganlah sesekali ‘turun-turun ayam’ iaitu pergi atau membuat sesuatu tanpa persediaan.

    Sewajarnya didik minda dan jiwa untuk sentiasa fokus sepenuhnya bagi memahami semua mata pelajaran lebih-lebih lagi subjek-subjek yang kurang mahir agar sebarang kelemahan boleh diatasi.

    Para pelajar perlu mendidik minda dan jiwa untuk sentiasa fokus sepenuhnya bagi memahami semua mata pelajaran lebih-lebih lagi subjek-subjek yang kurang mahir.

    Sehubungan itu, sebagai langkah permulaan sebelum menghadapi peperiksaan, para pelajar disarankan untuk membuat countdown menuju peperiksaan dengan meletakkannya di tempat yang sering dilihat seperti di pintu bilik tidur atau berdekatan dengan meja belajar. Perkara ini pastinya akan memberikan peringatan kepada pelajar mengenai hari tibanya waktu peperiksaan.

    Di samping itu, para pelajar juga perlu menitikberatkan keselesaan persekitaran tempat belajar dengan mengemas dan mengetepikan perkara yang tidak berkait dengan peperiksaan seperti majalah hiburan, alat-alat permainan dan apa jua yang boleh mengganggu fikiran dan mengalihkan fokus dari pelajaran.

    Terokai soalan-soalan terdahulu

    Membuat latih tubi dengan soalan peperiksaan tahun terdahulu merupakan salah satu cara paling efektif sebelum menghadapi musim peperiksaan di mana ia mampu membantu membiasakan dengan format soalan.

    Menerusi teknik mengulang kaji berkenaan, secara langsung dapat mengajar individu menjadi lebih efisien dan efektif dari segi kebolehan menganggarkan kadar masa untuk menjawab setiap satu soalan agar dapat menjawab semua soalan dalam masa yang ditetapkan.

    Jadikan nota ringkas ‘peneman diri’

    Selain itu, pelajar-pelajar juga digalakkan untuk membuat nota-nota ringkas mengikut cita rasa pemahaman sendiri yang sebaiknya dibuat lebih awal.

    Melalui usaha itu diharap mampu meningkatkan lagi kefahaman individu dengan lebih jelas dan tidak kompleks.

    Apa yang perlu diketahui juga, dalam suasana menyelami sesi ulang kaji, janganlah pula menyangka belajar berterusan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kita lebih pandai, sebaliknya, ambillah masa untuk berehat seketika.

    Setiap orang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza, maka dalam perkara ini, jika sekiranya seseorang itu lebih produktif pada waktu malam, berehatlah lebih awal supaya lebih bersedia untuk mengulang kaji pada malam hari.

    Tetap jaga kesihatan

    Satu hal yang perlu dititikberatkan juga ialah menjaga kesihatan tubuh badan secara menyeluruh.

    Pastikan pelajar-pelajar banyak meminum air kosong kerana kita tidak mahu tubuh terhidrasi. Tubuh yang cukup kandungan air akan membolehkan otak bekerja pada tahap yang cemerlang. Kadar air yang cukup adalah sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

    Sehari sebelum peperiksaan diadakan, banyakkan berehat dan elakkan diri daripada menghadapi tekanan. Tidur dan bangun awal, segera tunaikan sembahyang fardu Subuh, berdoalah kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi peperiksaan.

    Sentiasa bersihkan niat

    Dalam apa jua yang kita laksanakan tidak terkecuali dalam menuntut ilmu, mestilah diiringi segala usaha itu dengan adab dan niat yang ikhlas. Oleh itu, pada hari menjelangnya peperiksaan, para pelajar seeloknya mengambil wuduk, bersalam dengan kedua ibu bapa dan memohon doa restu mereka sebelum bertolak ke sekolah. Ini kerana terdapatnya keberkatan di dalam doa dan restu daripada kedua ibu bapa kita.

    Para pelajar harus ingat bahawa ibu bapa atau penjaga merupakan insan-insan terdekat yang banyak berjasa membesarkan dengan berusaha memberikan pendidikan yang sempurna dunia dan akhirat dengan harapan kita menjadi manusia yang berguna. Maka adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk sentiasa memohon keampunan kepada kedua-dua ibu bapa atau penjaga dan guru-guru demi menggapai reda Ilahi dalam segala tindak-tanduk perjuangan mengejar sebuah cita-cita.

    Jangan panik, amalkan selawat

    Ketika tiba di sekolah, melangkahlah ke dalam dewan peperiksaan dengan yakin. Jangan panik dan takut kerana ini boleh menjejaskan prestasi kita.

    Bacalah selawat tiga kali dan pohonlah kepada Ilahi dengan penuh ketulusan supaya dipermudahkan segala urusan semasa menduduki peperiksaan.

    Baca semua soalan terlebih dahulu bagi memberikan gambaran bentuk soalan. Jawablah soalan dengan tenang dan jawab soalan senang terlebih dahulu kemudian baharulah diikuti dengan menjawab soalan yang susah.

    Apa yang perlu diingatkan juga ialah para pelajar jangan sesekali berhenti sebelum masa menjawab habis dan semak berulang kali jawapan yang diberikan bagi memastikan jawapan yang diberikan itu adalah yang terbaik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda