Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Selaku hamba Allah, kita dituntut untuk bermuhasabah sama ada kita telah menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang telah diperintahkan Allah SWT.
Ini termasuk menilai kesungguhan dalam mentaati segala perintah dan larangan Allah seperti mendirikan sembahyang fardu lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan mungkar dan maksiat.
Khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk Muhasabah Diri Menuju Tahun Baharu, hari ini turut menekankan bahawa Rasulullah SAW menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri sebagai orang yang bijak.
Menurutnya lagi, “Kita juga perlu menilai dan memeriksa sama ada kita telah berhasil atau sebaliknya dalam menanai dan melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai seorang anak, tugas sebagai seorang pelajar, tugas sebagai pekerja, ketua dan seumpamanya.
“Setelah muhasabah, jika kita berada pada tahap yang baik, maka ia perlu diteruskan, dipertingkatkan dan ditambah nilai,” jelasnya.
Manakala jika sebaliknya, apa yang kita dapat dari hasil muhasabah itu, kita merasakan masih terdapat kekurangan, kelemahan dan keburukan, hendaklah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Khatib turut mengingatkan, untuk melakukan perubahan itu bukanlah sekadar dengan angan-angan kosong, mahupun khayalan semata-mata, tapi perubahan itu mestilah disusuli dengan tindakan, azam dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Di sepanjang 2023, kita dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur di bumi Darussalam yang bertuah dan untuk itu jelas khatib, marilah sama-sama merafakkan doa semoga nikmat keamanan dan nikmat kemakmuran dapat pula dinikmati pada tahun baharu nanti.
“Pelbagai peristiwa suka duka, pahit dan manis telah ditempuh dan dihadapi sepanjang tahun ini dan sebagai orang beriman, hendaklah meyakini segala yang berlaku itu merupakan ketentuan dan ketetapan Allah yang perlu dimuhasabah agar dapat merancang dan merencana sesuatu yang lebih baik untuk masa akan datang,” tambahnya.
Dengan kedatangan tahun baharu ini, khatib menyeru untuk sama-sama bermuhasabah dan menanamkan azam untuk memperbaiki iman agar sentiasa melakukan perubahan bagi menjadi Muslim yang lebih bertakwa, lebih patuh dan mentaati segala perintah dan larangan Allah.
“Selain penuh bersemangat dan berkeyakinan mengalas semua tanggungjawab dan amanah dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara, maka dengan itu Allah akan melimpahkan rahmat berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua,” tambahnya.