Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Hijrah menuntut kita untuk melakukan pengorbanan demi melaksanakan segala perintah Allah, kerana hijrah itu sendiri ialah suatu perubahan yang memerlukan pengorbanan.
Perubahan merupakan tuntutan hidup daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah yang sudah pasti perlukan pengorbanan.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Melakukan Perubahan melalui Hijrah’ menekankan sambutan tahun baharu 1445 Hijrah telah dinamakan sebagai ‘Ilal Hijrah’ yang bermaksud menuju kepada penghijrahan iaitu penghijrahan untuk memperoleh kejayaan dan kehidupan yang lebih baik.
Peristiwa hijrah itu besar ertinya bagi seluruh umat Islam, ia mengajak agar menghayati erti dan konsep sebenar hijrah yang pernah dilalui oleh Rasulullah SAW.
Sejarah juga telah membuktikan, peristiwa hijrah Baginda bersama para sahabat dan pengikut Baginda dari Makkatul Mukarramah kemudian Madinatul Munawwarah telah membuka lembaran sejarah yang paling agung bukan saja dalam perkembangan agama Islam tapi tamadun manusia keseluruhannya.

Melalui hijrah, katanya, Rasulullah SAW dapat melahirkan satu umat yang bersatu padu, umat yang bersaudara, umat yang dihormati dan menjadi contoh teladan malah dapat melahirkan kemakmuran yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan saksama.
Mengingati peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, jelas khatib, bukan sekadar menyebut atau mengingati peristiwa bersejarah itu saja, tapi ia yang lebih penting adalah menghidupkan erti sebenar hijrah dalam kehidupan seharian.
“Tahun demi tahun, usia kita semakin meningkat dan semakin dekat dengan kematian, tapi sedarkah kita dengan kehidupan yang tidak diketahui bila penghujungnya itu, berapa banyak bekalan yang telah dipersiapkan untuk menghadapi kematian,” tegasnya.
Justeru, khatib mengingatkan umat Islam jangan sampai terbuai dan terpesona dengan kesenangan dan kenikmatan dunia sehingga lupa kepada akhirat yang bakal ditempuh.
Kemewahan harta benda, kesihatan tubuh badan dan kesenangan hidup, tegas khatib, seharusnya membuatkan kita lebih bersyukur kepada Allah, mentaati dan sentiasa mengingatiNya dan dengan itu, kita akan sentiasa dekat kepadaNya.
“Kita bukakan minda, isikan jiwa dengan ilmu agama, cekal dan terus bertakwa dan bertawakal kepada Allah agar dapat menangkis segala anasir jahat yang cuba untuk mengganggu gugat keimanan kita,” jelasnya.
Menurutnya lagi, “Sucikan hati dan jiwa dengan meninggalkan apa juga perkara yang dilarang Allah dan rasulNya dan inilah salah satu cara hijrah yang boleh dilakukan sebagai seorang Muslim.”
Dalam usaha memartabatkan dan meningkatkan kemuliaan Islam serta umatnya, hendaklah berusaha menjadi Muslim yang terbaik.
Kita rai kecemerlangan dunia melalui perkembangan intelektual, ekonomi, teknologi dan sebagainya, jelasnya.
Selain tingkatkan pembangunan diri, kemahiran dan kepakaran dengan memupuk semangat menyumbang kepada kemanfaatan dan kesejahteraan agama, bangsa dan juga negara, ini kerana Islam mendidik supaya terus mengejar kecemerlangan dunia dan akhirat.

