Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mencerminkan pemikiran proaktif dan wawasan baginda yang jauh ke hadapan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terjalin.
Ia juga turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan baginda untuk memelihara kemakmuran negara sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dalam menyokong usul Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, iaitu Usul Menjunjung Kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap limpah kurnia titah baginda bersempena keberangkatan ke Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), baru-baru ini.
Yang Berhormat Pehin mengetengahkan tiga perkara utama terhadap kandungan titah Baginda Sultan iaitu titah baginda bahawa Majlis Mesyuarat Negara merupakan wadah percambahan fikiran yang berasaskan himpunan perkara-perkara berkeutamaan daripada sesi dialog, muzakarah dan lawatan kerja Ahli-ahli Mesyuarat yang dilantik adalah sangat tepat sekali.
“Malah majlis ini adalah wadah perbincangan tertinggi di negara ini yang memainkan peranan yang amat signifikan dalam pembangunan dan kemajuan negara. Ianya berfungsi sebagai platform demokrasi berteraskan Melayu Islam Beraja di mana wakil-wakil rakyat dapat menyuarakan pandangan dan membawa isu-isu penting untuk perhatian Kerajaan selaras dengan konsep syura dalam Islam dan bersandarkan lunas-lunas perlembagaan Brunei,” jelas Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Ke-21 yang bersidang bagi hari ketiga di Bangunan Dewan Majlis, baru-baru ini.
Beliau menyatakan majlis itu berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan dan rakyat di mana melalui perbahasan dalam majlis, aspirasi dan kebimbangan rakyat dapat disampaikan secara langsung kepada pihak penggubal dasar seterusnya memastikan dasar-dasar kerajaan sentiasa relevan dengan keperluan rakyat.
Seterusnya, Yang Berhormat Pehin berkata persidangan yang lebih kerap membolehkan pemantauan berterusan terhadap dasar-dasar Kerajaan dan projek pembangunan serta membuka ruang untuk menangani isu-isu semasa dengan lebih berkesan ia juga mempertingkatkan akauntabiliti dalam sektor awam melalui pelaporan pencapaian yang lebih kerap oleh kementerian dan jabatan-jabatan sekali gus mendorong prestasi yang lebih cemerlang dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perkara kedua yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Pehin daripada intipati titah Baginda Sultan ialah berkenaan sumbangan keluaran dalam negara besar (KDNK) yang menunjukkan kemajuan yang ketara dengan putaran purata pertumbuhan sepanjang tempoh 2017 hingga 2023 iaitu sebanyak 4.3 peratus setahun.
“Ini didorong oleh peningkatan yang luar biasa dalam sektor aliran minyak dan gas. Titah baginda ini juga terus saja mengingatkan kita untuk terus berusaha lebih gigih khas dalam mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak dan gas.”
Yang Berhormat Pehin berkata, “Keadaan ini turut mendorong kita untuk meneroka bidang-bidang baharu, meningkatkan inovasi dan membina daya tahan ekonomi yang lebih mantap ianya juga mendorong kita untuk perlu mengambil pendekatan yang lebih agresif dan mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan kecekapan sektor awam dan swasta serta membangunkan modal insan dan yang berkemahiran tinggi ini termasuk memperkasa usaha para mikro, kecil dan sederhana menggalakkan pelaburan orang asing dan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan produktiviti.”
Usaha serta membangun pembangunan ekonomi, pendekatan senegara adalah sangat relevan kerana setiap pihak saling bergantung dalam menjalankan mana-mana usaha termasuk memperkasa industri yang sedia ada atau menerokai produk industri yang baharu, saran Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi.
Perkara ketiga yang diketengahkan, jelas Yang Berhormat Pehin ialah mengenai seruan baginda supaya seluruh pihak kerajaan untuk terus melakukan transformasi dalam meningkatkan produktiviti senegara merentasi sektor-sektor seperti Pertanian, Pengangkutan, Pendidikan, Kesihatan, Pelancongan, Keselamatan dan Perkhidmatan Awam serta meneroka industri-industri baharu dengan mengambil peluang kepada pusat teknologi ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
“Titah baginda berkenaan telah menekankan peranan penting sektor awam di negara ini dalam menyokong pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat apa yang pasti hanya terhad kepada pentadbiran dan pengurusan sahaja malah mencukupi pemberian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat memastikan keharmonian sosial dan menggalakkan pembangunan ekonomi secara berterusan.”
Oleh itu, tambah Yang Berhormat Pehin, transformasi dalam sektor awam sangatlah penting bagi memastikan ia terus relevan dan efisien dalam memenuhi keperluan rakyat serta mencapai matlamat agenda pembangunan negara.
