Thursday, December 12, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lalat buah invasif ditemui berhampiran Los Angeles

    LOS ANGELES, 3 OGOS – Penemuan hampir 30 lalat buah invasif telah mengakibatkan hasil tani dikuarantin yang menjejaskan lebih 204.6 kilometer persegi kawasan di Los Angeles County, ketika pegawai negeri dan tempatan berusaha untuk menghalang lalat itu daripada merebak dan melindungi industri buah-buahan dan sayur-sayuran California.

    Ia merupakan kuarantin pertama di Hemisfera Barat bagi lalat buah Tau, yang berasal dari Asia, kata pegawai pertanian. Lalat itu ditemui pada 6 Jun di kawasan tidak diperbadankan, Stevenson Ranch, kira-kira 48 kilometer utara pusat bandar Los Angeles, dan berkemungkinan dibawa oleh pengembara yang membawa hasil tani yang tidak diperiksa ke California, kata pegawai. Jabatan Makanan dan Pertanian California mengumumkan kuarantin itu minggu lalu.

    “Kami merupakan saluran besar dalam hal perkapalan dan perdagangan,” kata, jurucakap Suruhanjaya Pertanian Los Angeles County, Ken Pellman.

    “Kami ingin selalu berwaspada dan mencegah hal-hal yang tidak diinginkan datang ke sini, dan jika ia datang ke sini, dengan segera menghapuskannya sebelum ia merebak.”

    Avokado, tomato dan tembikai hanyalah sebahagian daripada kira-kira 100 buah yang boleh menjadi perumah kepada lalat, sehingga ia lebih mudah untuk bertapak. Jika ia merebak, lalat itu boleh memusnahkan tanaman dan mendorong petani untuk menyembur lebih banyak racun perosak untuk menjaga hasil pertanian mereka.

    Walaupun banyak perkara yang tidak diketahui tentang lalat itu, Pengurus Program Alam Sekitar di Jabatan Makanan dan Pertanian California, Jason Leathers meramalkan peningkatan serangannya di seluruh dunia akan membawa kepada kajian lanjut dalam tempoh 10 tahun akan datang. – AP

    Gambar fail yang disediakan oleh Jabatan Makanan dan Pertanian California menunjukkan lalat buah Tau yang ditemui pada 6 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda