Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lalat lovebug selubungi puncak gunung Korea Selatan

    SEOUL, 2 JULAI – Sekumpulan lalat lovebug telah kembali ke Korea Selatan, menyelubungi puncak gunung, memasuki rumah dan melekat pada tingkap kereta.
     
    Terbang menempel antara satu sama lain semasa mengawan, serangga, yang dikenali oleh saintis sebagai Plecia nearctica itu juga dipanggil serangga bersatu, serangga berkepala dua atau serangga bulan madu.
     
    Lovebug pertama kali dikesan di kawasan Seoul pada 2022. Kini, kumpulan besar muncul di seluruh bandar dan beberapa kawasan berdekatan, terutamanya antara akhir Jun dan awal Julai setiap tahun.
     
    Serangga itu tidak menyebarkan penyakit atau menyengat manusia, tetapi terdapat aduan yang meningkat daripada orang ramai tentang lovebug yang melekat pada tingkap kereta dan dinding rumah, restoran dan kereta api bawah tanah.
     
    Lovebug baru-baru ini berlegar di atas puncak Gunung Gyeyang di bandar Incheon, di sebelah barat Seoul. Serangga itu mengerumuni dek pemerhatian ketika para pekerja menyodok serangga yang mati dari tanah, menurut video yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.
     
    “Berbanding dengan dua tahun lalu, bilangan lovebug meningkat mendadak hujung minggu lalu di gunung itu,” kata Pegawai Daerah Gyeyang Wang Hyeon-jeong kelmarin.
     
    “Pihak berkuasa tidak tahu mengapa gunung itu mempunyai lebih banyak lovebug daripada biasa musim panas ini,” tambahnya.
     
    Gunung setinggi 395 meter mempunyai keadaan cuaca panas dan lembap di mana lovebug biasanya membiak, kata Kementerian Alam Sekitar, yang mungkin membawa kepada peningkatan populasi serangga itu. – AFP 
     
    Gambar menunjukkan lalat lovebug di puncak Gunung Gyeyang di Incheon, Korea Selatan pada 30 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda