BEIJING, 5 OGOS – Beribu-ribu penunjuk perasaan di Hong Kong, yang membantah rang undang-undang ekstradisi kontroversi, telah mencetuskan kekacauan lalu lintas di seluruh bandar dan dijangka menghimpunkan lebih 500,000 peserta lagi termasuk penjawat awam, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan media tempatan pada Isnin.
Menurut akhbar South China Morning Post, penunjuk perasaan terus menyekat jalan raya dan laluan rel pada Isnin bagi memaksa pemerintah tunduk kepada kehendak mereka.
Tunjuk perasaan itu telah menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, yang menyaksikan hanya satu landasan masih beroperasi. Pengkritik perhimpunan itu berkata gangguan berskala besar dalam semua bidang perniagaan daripada restoran hinggalah penerbangan, akan menyebabkan kerosakan besar ke atas reputasi antarabangsa Hong Kong, yang sebelum ini sering berbangga dengan kestabilan dan perkhidmatan berkelas dunianya.
Pada hujung minggu, bandar raya itu menyaksikan siri pertempuran ganas penunjuk perasaan dengan polis, dengan penggunaan gas pemedih mata dan penahanan. – Bernama
