Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laluan berbeza Zidane, Pochettino

    LONDON, 31 Okt – Ketika Tottenham dan Real Madrid bertembung dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini, perlawanan itu juga akan menyaksikan pertembungan di garisan teknikal antara dua pengurus, Mauricio Pochettino dan Zinedine Zidane.

    Pochettino, yang membimbing Tottenham, sementara Zidane bersama Real, kedua-duanya dilabel sebagai pengurus yang mampu membawa pasukan mereka muncul juara, tetapi kedua-duanya juga mempunyai sejarah tersendiri dalam kerjaya mereka.

    Pochettino, 45, mempunyai rekod yang cemerlang daripada transformasi seorang pemain pertahanan Argentina kepada jurulatih, sementara Zidane yang seusia rakan sejawatannya itu, adalah barisan pemain Perancis yang memenangi Piala Dunia diikuti kecemer-langannya selaku pengurus.

    Dengan Tottenham dan Real Madrid berkongsi mata di kelompok teratas Kumpulan H, AFP membezakan pengalaman antara Pochettino dan Zidane.

    “Ketika zaman remaja, saya hanya memikirkan mengenai bola sepak sahaja. Ia adalah segala-galanya bagi saya,” kata Pochettino.

    Ketua Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mempunyai latar belakang kejayaan yang banyak dalam Liga Juara-Juara berbanding rakan sejawatannya di Spurs, Pochettino. Namun mereka mempunyai kebolehan untuk menjadikan pasukan masing-masing juara. – AFP

    Pochettino membuat penampilan awal bersama Newell’s Old Boys pada 1988 dan memenangi Liga Perdana Argentina pada 1991.

    Beliau kemudian meraih reputasi hebat yang menyaksikannya berhijrah ke Espanyol pada 1994 tetapi berdepan kesukaran apabila hanya memenangi Copa del Rey pada 2000.

    Zidane meraih banyak kejayaan antarabangsa, manakala Pochettino hanya melakukan 20 penampilan dan detik paling diingati adalah menjadi punca kepada sepakan penalti yang menyebabkan England mencatat kemenangan 1-0 ke atas Argentina pada Piala Dunia 2002.

    Ketika Pochettino hidup di kawasan luar bandar, Zidane dibesarkan di bandar utama Marseille. Selepas bersama Cannes dan Bordeaux, pemain tengah itu menjadi bintang terkenal ketika bersama Juventus di bawah bimbingan Marcello Lippi.

    “Lippi seperti suis lampu bagi saya. Sebelum itu bola sepak adalah untuk hiburan saya sendiri. Selepas tiba di Turin, keinginan untuk menang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

    Sementara kabinet trofi Pochettino masih berdebu, Zidane sudah mengisi kabinetnya dengan dua gelaran Serie A bersama Juventus sebelum membantu barisan bintang Real memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda