Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laluan ‘hayat’ Nepal sudah kembali pulih

    LAPA, Nepal – Apabila debu daripada gempa bumi terbesar di Nepal sudah reda dan dibersihkan, krisis terbaru kemanusiaan pula melanda para penduduk: laluan perhubungan bekalan ke kawasan komuniti pedalaman telah musnah, dan penduduk kampung kini kelaparan.

    Tanpa laluan ini yang sering digunakan oleh porter (pengangkat barangan) dan juga keldai untuk mengangkut barangan, lebih daripada satu juta orang yang tinggal di kampung-kampung terpencil di Nepal kini dalam kekurangan bekalan makanan. Oleh kerana isu ini, harga-harga barangan di pasaran tempatan telah melonjak naik dengan cepat.

    “Kos daripada barangan itu, apabila ia tiba di sana akan menjadi sangat mahal, terutamanya makanan yang berkhasiat,” kata Pippa Bradford, ketua Program Makanan Sedunia di Nepal, kawasan yang paling teruk terjejas akibat daripada gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang telah melanda pada bulan April 2015.

    Beberapa bulan selepas berlakunya bencana itu, bekalan makanan ke kawasan terpencil itu sudah menjadi terhad sehinggakan ramai daripada kanak-kanak mengalami masalah tumbesaran. Baghal juga tidak dapat mengembara di jalan yang sudah rosak. Ini bermakna kesemua barangan perlu dibawa oleh porter. Perjalanan yang biasanya mengambil masa sehari atau dua hari itu akan menjadi berganda.

    “(Laluan itu) sungguh menggerunkan, dengan mempunyai rekahan yang begitu besar, dan ia kelihatan seperti akan runtuh pada bila-bila masa saja,” kata Rochit Tamang, 24, seorang porter dari kawasan pedalaman Ruby Valley, hanya 30 kilometer dari kawasan timur pusat gempa.

    Seorang wanita Nepal membawa barangan di sepanjang laluan yang sudah dipulihkan di Dhading, kira-kira 100 kilometer dari barat laut Kathmandu. – AFP
    Baghal membawa barangan di sepanjang laluan yang sudah dipulihkan di Dhading. – AFP

    WFP mengisytiharkan bahawa lebih dari 1.1 juta penduduk Nepal “mengalami masalah keselamatan makanan” – satu langkah berada di bawah kelaparan – setelah gempa bumi itu tercetus, dan bekalan-bekalan telah dihantar melalui helikopter untuk mengatasi krisis tersebut.

    Tetapi apabila usaha-usaha bencana global itu beralih dari tindak balas kecemasan kepada pembinaan semula, penghantaran tersebut telah diberhentikan, mengakibatkan kampung-kampung yang berada di kaki bukit Himalaya itu terpaksa menanggungnya bersendirian.

    “Walaupun jika penduduk mempunyai wang, jika mereka tidak akses laluan, mereka tidak dapat menghantar barangan mereka ke pasaran,” kata Pushpa Shrestha, seorang jurutera WFP di Nepal.

    Dua tahun lagi, laluan-laluan penting di empat buah daerah yang paling teruk terjejas di Nepal itu akan dipulihkan melalui projek bernilai AS$6 juta yang dibiayai oleh bantuan British.

    Barang-barangan cuba dihantar semula ke kawasan masyarakat secara perlahan-lahan. Deretan panjang baghal sarat dengan karung-karung beras, lentil dan gula mula dibawa melalui lereng-lereng curam sehinggalah ke kawasan perkampungan, bersama dengan porter yang membawa segala-galanya dari barangan asas sehinggalah anak ayam hidup yang dibawa melalui bakul besar di punggungnya.

    “Ia begitu teruk dan tidak sesuai untuk perjalanan. Kini ia mudah untuk dilalui dan lebih banyak baghal dan juga lebih banyak barang dibawa,” kata pemilih baghal, Jitpa Tamang, yang mengangkut barangan antara perkampungan desa di Ruby Valley, daerah Dhading.

    Harga makanan juga telah stabil ketika masa perjalanan dapat dikurangkan. Ia jauh dari sempurna, dengan penduduk di Lapa – sebuah perkampungan di Dhading, mengambil masa dua hari berjalan kaki dari jalan raya – mengadu bahawa pemilik baghal beroperasi seperti kartel dengan harga yang tetap.

    Pemilik baghal Nepal, Jitpa Tamang semasa diwawancara AFP di Dhading. – AFP
    Penduduk Nepal membawa barangan mereka di sepanjang laluan yang sudah dipulihkan di Dhading. – AFP

    Di kawasan pergunungan Nepal, yang menempatkan lapan buah puncak tertinggi di dunia, sekitar 2.6 juta orang – sembilan peratus daripada penduduk – tinggal di kawasan perkampungan yang mana hanya dapat diakses melalui berjalan kaki, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    Kawasan yang berbatu-batu dan mempunyai suhu yang melampau bermakna masyarakat setempat hanya akan dapat bercucuk tanam selama setengah tahun, bergantung kepada stok makanan sehinggalah musim sejuk. Di kawasan yang dilanda gempa bumi, stok makanan telah musnah akibat bencana tahun 2015 itu dan masih berada di tahap yang rendah selepas mengalami turunan hujan yang tidak menentu selama dua tahun, kata Shrestha dari WFP.

    “Pengeluaran tanaman tempatan di kawasan seperti jalur utara Dhading adalah tidak mencukupi dalam memastikan tahap keselamatan makanan sepanjang tahun, jadi apa-apa jenis bencana alam seperti kemarau atau ribut hujan batu, mereka akan menjadi lemah,” katanya.

    Di Lapa Valley, harga makanan turun naik sepanjang tahun, kata Bam Tamang yang memiliki sebuah kedai di kampung Borang, dua jam perjalanan kaki dari jalan raya.

    “Baghal dan porter kebanyakannya menghentikan operasinya selama tiga bulan pada musim monsun, jadi kami perlu membayar kos pengangkutan tambahan di luar musim itu. Kami gagal membawa barangan yang mencukupi buat masa sekarang,” katanya. Harga akan terus meningkat pada musim sejuk apabila musim penuaian berakhir, tambahnya.

    Bunyi deretan baghal semakin kuat, dan bunyi loceng yang berada di lehernya menyelubungi suasana lembah.

    “Tetapi ia telah menjadi lebih baik bagi kami selepas laluan itu dibina semula,” kata pemilik kedai sambil baghal yang sarat membawa barangan itu melintasi kedainya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda