KUALA LUMPUR, 30 DIS – Berdasarkan keputusan undian bagi kejohanan badminton Yonex Thailand Open dan Toyota Thailand Open yang dijadualkan berlangsung bulan depan, pasukan badminton negara dilihat memperoleh laluan mudah untuk menyerlah di kedua-dua kejohanan itu.
Berdasarkan keputusan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di laman web mereka; www.bwfbadminton.org, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan memulakan kempennya di Yonex Thailand Open dengan menentang H.S Prannoy dari India pada pusingan pertama.
Walaupun dijangka tidak mempunyai masalah dalam pusingan awal, pemain pilihan nombor lapan dunia itu berkemungkinan bertemu pilihan kedua, Chou Tien Chen dari Taiwan pada perlawanan suku akhir.
Dalam Kategori Beregu Lelaki pula, pasangan nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menentang bekas pasangan kebangsaan, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong dalam pertemuan pembukaan.
Pemain kebangsaan seharusnya mempunyai peluang yang cerah untuk menguasai kedua-dua kejohanan itu selepas Persatuan Badminton China (CBA) memutuskan untuk tidak menghantar pemain-pemain mereka kerana bimbang dengan pandemik COVID-19.
Kedua-dua kejohanan itu yang merupakan pertandingan BWF World Tour Super 1000, masing-masing menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$1 juta (RM4.050 juta). Kejohanan Yonex Thailand Open dan Toyota Thailand Open, masing-masing akan diadakan pada 12 hingga 17 Januari 2021 dan 19 hingga 24 Januari 2021. – Bernama