Tuesday, April 8, 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laluan udara ke sahara cetus ketegangan di Eropah

    MADRID, 7 APRIL –  Penerbangan dari dua bandar Eropah ke sebuah bandar di wilayah sahara barat yang masih dipertikaikan kini telah mencetuskan perbalahan terbaharu antara kumpulan pemisah Front Polisario dan kerajaan Maghribi.
     
    Beberapa syarikat penerbangan tambang rendah dilaporkan telah membuka laluan baharu yang menghubungkan Madrid dan Paris ke bandar pesisir itu, yang terletak di wilayah bekas jajahan Sepanyol. Walaupun Sahara Barat kini sebahagian besarnya berada di bawah kawalan Maghribi, tuntutan ke atas wilayah berkenaan turut dibuat oleh Front Polisario yang disokong oleh Algeria.
     
    Polisario, yang menguasai sekitar 20 peratus wilayah itu, mempertikaikan kesahan laluan penerbangan tersebut dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia diteruskan oleh syarikat penerbangan Eropah.
     
    Virginia Santana, seorang ahli perniagaan dari Sepanyol, turut menyatakan laluan penerbangan baharu ini membolehkannya terbang dari Madrid ke Dakhla setiap minggu dengan hanya €20 (AS 21.60) untuk menyelia pembinaan sebuah hotel yang dibiayai oleh pelabur dari Sepanyol.
     
    “Laluan baharu ini benar-benar bersifat revolusioner,” katanya kepada AFP ketika ditemui di Lapangan Terbang Madrid.
     
    Gambar Freepik
    Hotel yang sedang dibina Santana dianggap sebagai simbol pertumbuhan pesat sektor pelancongan di Dakhla, hasil dorongan kerajaan Maghribi yang giat memperkukuh tuntutannya ke atas wilayah tersebut.
     
    Maghribi kini menguasai kira-kira 80 peratus Sahara Barat, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih mengiktirafnya sebagai wilayah “tidak berpemerintahan sendiri”.
     
    Misi pengaman PBB telah ditempatkan sejak 1991 bagi merancang referendum penentuan nasib sendiri, namun Maghribi menolak sebarang undian yang membenarkan pilihan kemerdekaan.
     
    Selepas menarik diri daripada sahara barat pada 1975, Sepanyol kekal neutral selama beberapa dekad, namun pada 2022 menyokong cadangan Maghribi untuk memberikan autonomi kepada wilayah tersebut di bawah kedaulatan Rabat. 
     
    Perancis turut mengambil pendirian yang sama, menyokong cadangan Maghribi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda