Friday, December 13, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Laman Merdeka’ tonjol semangat patriotik

    IPOH – Dengan semangat patriotik membara dalam jiwa penduduk Taman Klebang Putra 1 di sini, mereka mengambil inisiatif membangunkan ‘Laman Merdeka’ di padang kawasan perumahan itu, dengan tekad memupuk kesedaran dan menyemai rasa cintakan negara dalam kalangan orang ramai sekitar sini sempena Bulan Kebangsaan ini.

    Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly, 36, berkata mereka cuba untuk membuat kelainan sempena sambutan tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan memberi bendera Jalur Gemilang kepada setiap rumah.

    Beliau berkata idea berkenaan Laman Merdeka itu sendiri yang kini hampir 80 peratus siap melibatkan kira-kira 1,300 Jalur Gemilang, merupakan hasil perbincangan dalam kalangan KRT itu bersama penduduk yang mahukan kelainan supaya dapat mempamerkan semangat patriotik.

    “Kita cuba buat satu kelainan, buat satu laman sempena kemerdekaan (Bulan Kebangsaan) dengan mengumpulkan bendera di sini (Laman Merdeka) untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk.

    “Setiap tahun KRT beri bendera kepada setiap rumah tetapi mereka belum tentu gantung, ia (usaha) bergantung kepada individu, jadi kita dapat idea untuk bangunkan satu laman penuh dengan bendera yang dinamakan Laman Merdeka,” katanya kepada Bernama.

    Penduduk setempat melintasi laluan Jalur Gemilang di ‘Laman Merdeka’ di padang kawasan perumahan sempena Bulan Kebangsaan ketika tinjauan Bernama di Taman Klebang Putera 1, kelmarin. – Gambar Bernama
    Penduduk Taman Klebang Putera 1, Ishammudin Isahak (kiri) dan Mohd Rizal Mohd Rajab (kanan) giat melakukan kerja-kerja membina replika kereta kebal untuk dipamerkan di ‘Laman Merdeka’ bagi meningkatkan kesedaran dan semangat patriotik. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Dr Mohamad Azrul berkata padang berkenaan merupakan kawasan tumpuan, yang sering dikunjungi penduduk untuk berekreasi dan beriadah, terutama pada waktu petang.

    Katanya secara langsung, ia dapat menarik perhatian pengunjung untuk mengambil gambar di laman berkenaan dan mungkin akan dimuat naik ke laman sosial bagi menunjukkan semangat patriotik masing-masing.

    Sementara itu, Pengarah Projek Laman Merdeka Taman Klebang Putra 1 Mohd Rizal Mohd Rajab, 48, berkata antara tumpuan di laman berkenaan adalah laluan Jalur Gemilang, selain replika kereta kebal, Menara KL dan wau.

    Beliau berkata bahan yang digunakan untuk membangunkan laman berkenaan meliputi paip plastik (PVC), buluh dan barangan terpakai serta dikitar semula seperti papan, tayar dan botol minuman.

    “Menariknya di Laman Merdeka ini, kita ada replika yang dibuat khas oleh penduduk Taman Klebang Putra 1 dengan kira-kira 50 orang penduduk terlibat membantu untuk menjayakan laman ini,” katanya.

    Mohd Rizal berkata pada 10 September ini juga akan diadakan Pameran Mini Karnival Kemerdekaan Klebang Putra 1 di laman berkenaan dari pukul 8:30 pagi hingga 12:30 tengah hari membabitkan polis, bomba, Kementerian Kesihatan, Arkib Negara Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

    Sementara itu seorang penduduk Muhammad Husaini Abd Hadi, 32, berkata dia berasa seronok apabila dapat membantu menjayakan laman berkenaan setelah enam tahun menyambut Bulan Kebangsaan di atas kapal kerana kerjayanya sebagai tukang masak di sebuah syarikat swasta.

    “Ini kali pertama saya terlibat dengan aktiviti kemerdekaan bersama penduduk kawasan dengan memasang bendera untuk sambut Bulan Kebangsaan supaya nampak meriah, selain mengukukuhkan silaturahim dan bersemangat patriotik sepenuh hati,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Syahrifah Haszreena Zulkifli, 36, berkata usaha membangunkan laman itu dapat memberi impak positif kepada generasi muda dalam menyemai serta menonjolkan semangat patriotik masing-masing. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda