BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam telah melancarkan laman sesawang rasmi bagi orang awam dan peniaga untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai Perintah Persaingan yang akan berkuat kuasa secara berfasa mulai hari ini (1 Januari 2020).
Laman sesawang boleh diakses di www.ccbd.gov.bn, Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam mengumumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Kenyataan menjelaskan, bagi menggalakkan kepatuhan peniaga, laman sesawang berkenaan memuatkan maklumat praktikal mengenai amalan-amalan yang dilarang di bawah perjanjian anti-persaingan (kartel) serta garis pandu yang berkaitan termasuk mekanisme aduan dan peranan peniaga dalam menghentikan kartel seperti di dalam Garis Pandu Kelonggaran (Leniency Guidelines).
Laman sesawang berkenaan juga menyediakan bahan-bahan rujukan seperti soalan-soalan lazim, Garis Pandu Persaingan bagi Peniaga, dan memahami dan mengesan tipuan bidaan dalam perolehan awam, serta perkembangan mengenai aktiviti-aktiviti sosialisasi utama yang telah diadakan setakat ini termasuk dialog bersama peniaga dan vendor perolehan awam.
Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam selaku Sekretariat Eksekutif kepada Suruhanjaya Persaingan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaannya, mengalu-alukan input daripada orang awam mengenai amalan peniaga yang disyaki melanggar Perintah Persaingan untuk menghadapkan aduan dengan maklumat yang mencukupi.
Suruhanjaya berkenaan menerima aduan yang berkaitan dengan perjanjian anti-persaingan seperti penipuan bidaan (tawaran harga secara kolusif), penetapan harga, pembahagian pasaran dan pengawalan bekalan.
Walau bagaimanapun, sepertimana yang dinyatakan dalam Garis Pandu Prosedur Aduan, Suruhanjaya Persaingan mempunyai kuasa dalam memutuskan untuk melancarkan siasatan ke atas aduan yang diterima setelah membuat penilaian terhadap impak kepada daya saing pasaran dan kepentingan awam.
Suruhanjaya Persaingan tidak bertindak bagi pihak pengadu tetapi berfungsi untuk melindungi proses persaingan di pasaran.
Garis Pandu Prosedur Aduan, yang boleh didapati di laman sesawang berkenaan, menerangkan cara dan prosedur bagi menghadapkan aduan kepada Suruhanjaya Persaingan.
Ia juga memuatkan maklumat mengenai proses berkaitan dengan tindakan yang akan diambil oleh suruhanjaya dalam mengendalikan aduan.
Untuk sebarang maklumat lanjut, Suruhanjaya Persaingan boleh dihubungi melalui Sekretariat Eksekutif menerusi e-mel brunei.competition@jpke.gov.bn, talian 2233344 sambungan 230, 343 atau 341 serta di alamat Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi Tingkat 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, BA 1311.