Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Laman Tok Mah imbau nostalgia silam

    Oleh Balkish Awang
    Gambar serahan Mohamad Yazdi

    KUALA LUMPUR – Menghirup kopi panas sambil menikmati menu klasik ubi rebus dan peknga nyok (lempeng kelapa) dalam suasana rumah tradisional bukan sahaja membuatkan diri mengimbau kembali kenangan lama tetapi turut mengubati kerinduan kehidupan kampung yang sudah lama ditinggalkan.

    Perasaan ini pasti menyelubungi setiap pengunjung yang santai menikmati sajian di Laman Tok Mah yang terletak di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kira-kira 23 minit dari Butterworth.

    Perniagaan yang beroperasi sejak pertengahan Oktober 2022 semakin mendapat perhatian sehingga menjadi pilihan kepada mereka yang inginkan kedamaian serta ketenangan kehidupan desa.

    Laman Tok Mah ini tidak sekadar menjanjikan keistimewaan menu klasik tetapi pengunjung yang menginjakkan kaki ke rumah tradisional ini turut berpeluang menikmati cara hidup kampung iaitu mencuci kaki terlebih dahulu dengan menggunakan air di dalam tempayan yang diletak di tangga beranda ibu rumah. Air dicedok menggunakan ‘batok’ iaitu pencedok diperbuat daripada tempurung kelapa.

    Selain beristirahat di laman dan beranda rumah, pengunjung juga boleh berbasikal menikmati keindahan panorama alam dan sawah padi selain bermain permainan tradisional seperti boling kelapa dan congkak seusai selesai menjamu selera.

    Laman Tok Mah diusahakan oleh Mohamad Yazdi Yaacop dibantu isterinya Siti Zaitun Suid.
    Pengunjung yang santai menikmati sajian di Laman Tok Mah.
    Pengunjung berpeluang merasai nostalgia silam ketika berada di rumah pusaka Laman Tok Mah.
    Laman Tok Mah sebuah rumah pusaka tahun 1970an yang dihidupkan bagi pengunjung menikmati dan merasai era nostalgia lama.

    Menurut pemilik Laman Tok Mah, Mohamad Yazdi Yaacop, 43, Laman Tok Mah adalah rumah pusaka peninggalan neneknya, Tinah Kanis (Tok Mah) yang kini dijadikan lokasi untuk pengunjung datang menikmati pelbagai hidangan dalam persekitaran yang mendamaikan.

    “Sejak tular, pengunjung bukannya hanya sekitar Pulau Pinang tetapi ada juga dari Kuala Lumpur, Kelantan terutamanya semasa musim cuti sekolah ini dan mereka pelbagai peringkat umur dari yang muda sehingga tua.

    “Tetapi yang berusia, lebih ramai ke sini kerana ia bagaikan membawa mereka kembali ke zaman kanak-kanak dan itu merupakan antara maklum balas pelanggan yang kami te-rima,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

    Hidupkan rumah pusaka

    Berkongsi kisah mengenai untuk menghidupkan kembali rumah itu, Mohamad Yazdi yang juga Pembantu Muzium di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, idea itu timbul selepas rumah berkenaan tamat kolaborasi dengan MGTF bagi program inap ilmu bersama mahasiswa praktikal Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    “Sebelum kerjasama itu, rumah pusaka ini kosong sejak tahun 2019 lagi selepas tiada anak-anak Tok Mah menetap di rumah itu. Bagaimanapun, ia kembali hidup selepas berkolabarasi dengan MGTF, namun rumah pusaka ini sekali lagi terbiar selepas tamat program pada November 2021.

    “Saya datang setiap hari untuk membuka tingkap rumah bagi membolehkan udara segar mengisi setiap ruang rumah dan menjaga rumah ini kerana tidak mahu ia terbiar begitu sahaja. Akhirnya saya mendapat idea untuk menjadikannya sebagai satu daya tarikan selepas mengunjungi beberapa kedai kopi yang masih mengekalkan atau mempunyai identiti serta konsep tersendiri,” katanya.

    Beliau yang kini menetap di Padang Serai, Kedah berkata, rumah pusaka yang menggunakan kayu cengal itu hanyalah sebuah serambi pada tahun 1960an sebelum diperbesarkan pada tahun 1973.

    Asalnya keseluruhan rumah berkenaan adalah rumah atas sahaja. Tiada langsung tandas, semua aktiviti mandi di perigi luar rumah. Ibu rumah (rumah atas) kosong lapang, tiada bilik dan ia bersambung dengan beranda.

    Sehingga kini, rumah berkenaan masih kekal de-ngan reka bentuk asal.

    “Di ruang beranda inilah arwah Tok Mah mengajar anak-anak kampung di sini mengaji Muqaddam dan Al-Quran. Pada bahagian penjuru rumah, terdapat lantai kayu yang disusun jarang-jarang atau dikenali dengan ‘gelega’ oleh orang kampung untuk kegunaan andainya ada kematian atau untuk ibu bersalin (ia bagi memudahkan urusan mandi jenazah serta ibu bersalin,” katanya.

    Gabungan menu klasik dan moden

    Untuk mengekalkan suasana silam, Mohamad Yazdi berkata rumah pusaka itu masih mengekalkan set kerusi rotan dan sedikit koleksi pinggan mangkuk lama bagi membangkitkan nostalgia sambil menikmati menu klasik dan aroma kopi segar.

    Menu yang disajikan seperti serabai, roti jala, lepat liat, kaswi pandan serta hidangan barat adalah hidangan yang siap dimasak dan diambil daripada penjual sekitar kawasan berkenaan sekali gus dapat membantu ekonomi peniaga tempatan.

    “Pemilihan menu tradisi adalah bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmatinya di Laman Tok Mah, ibarat mereka pulang ke kampung dan menikmati makanan di rumah tok (nenek) seperti yang disediakan oleh mak atau tok pada waktu kecil dulu,” katanya yang mengendalikan perniagaan itu dengan dibantu isterinya, Siti Zaitun Suid, 41, anak tunggal dan dua orang anak saudaranya.

    Dibuka hanya hujung minggu (Sabtu dan Ahad) bermula pukul 3 petang hingga 8 malam, Mohamad Yazdi turut mengupah jiran kampung untuk menjaga kebersihan dan persekitaran Laman Tok Mah.

    Ketika ditanya mengapa ia tidak dibuka setiap hari, beliau berkata inilah keunikan Laman Tok Mah yang konsepnya hampir sama seperti pasar malam yang beroperasi seminggu sekali bagi membuatkan pengunjung ternanti-nanti dan teringat dengan suasana di situ selain disebabkan beliau masih lagi bekerja.

    Beliau bagaimanapun tidak menolak sekiranya suatu hari nanti waktu operasi Laman Tok Mah akan bertukar.

    Di samping hidangan yang disajikan, pengunjung juga berpeluang menikmati kopi yang dibru segar dan istimewanya, Laman Tok Mah adalah yang pertama menawarkan kopi berkenaan di Tasek Gelugor.

    “Memandangkan saya sendiri suka kopi yang dibru segar, saya belajar buat kopi di rumah bersama isteri dan kami beli mesin pembuat kopi untuk kegunaan sendiri. Selain itu saya pernah menyertai kursus pendek ‘Kursus Asas Barista’ di Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah pada 2022.

    “Bermula daripada minat inilah, kami kembangkan kemahiran dan jual kepada pelanggan,” katanya sambil menambah ‘Salted Caramel Macchiato’ adalah kopi paling popular di laman berkenaan.

    Laman Tok Mah juga menjadi pilihan kepada para pengantin yang ingin mengabadikan momen indah perkahwinan mereka berlatar belakangkan rumah penuh tradisi serta turut menjadi pilihan penggambaran video hari raya.

    Mengenai impian masa depan, Mohamad Yazdi berkata, sasaran utamanya mahu mengekalkan rekaan rumah Tok Mah dan akan terus menjaga rumah pusaka itu agar terus dapat dikunjungi semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda.

    “Kami menyasarkan pernia-gaan ini akan terus berkembang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung. Datang sebagai pengunjung dan pulang sebagai saudara.

    “Pada masa akan datang, saya juga bercadang mengadakan aktiviti mewarna batik di atas kertas dan mengeluarkan produk jenama Laman Tok Mah sendiri seperti beg dan produk batik,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...