Lamaran Afieq ditolak

Barangkali penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, 24, sudah menggalas status suami jika tidak kerana lamarannya ditolak.

Mendedahkannya, Afieq memaklumkan wanita yang ingin dijadikan suri hidupnya itu lebih berusia daripadanya.

“Saya tak ingat bila kejadian berlaku, tetapi memang saya pernah bertanya dan mengajak seorang wanita untuk berkahwin, namun, ditolak atas alasan tidak bersedia.

“Masa saya mengajaknya kahwin, si dia sudah berusia 28 tahun. Saya terima keputusannya dan tiada masalah sebab saya memang sudah biasa kena ‘reject’.

“Saya tak patah hati pun. Cuma, buat masa ini, kami sedang mencari kehidupan masing-masing untuk capai satu tahap yang berbeza,” katanya kepada media.

Afieq memaklumkan wanita yang ingin dijadikan suri hidupnya itu lebih berusia daripadanya. – Agensi

Afieq mendedahkannya pada sidang media drama rantaian, Diari Seorang Lelaki yang diadakan secara virtual.

Ditanya apakah pengalaman dilaluinya itu membuatkannya enggan terburu-buru menamatkan zaman solo pada usia masih muda, penyanyi yang popular menerusi lagu Lelaki Di Telefon ini bersetuju dengan kenyataan itu.

“Pada usia sekarang, saya boleh katakan belum berhasrat untuk mendirikan rumah tangga. Namun, kalau nak kata belum bersedia tidak juga kerana kalau tanya mana-mana lelaki, waima ketika mahu bernikah, mereka juga tidak bersedia sepenuhnya.

“Perkara ini bukan soal sedia atau tidak kerana kita perlu melaluinya. Saya hanya ikut suratan takdir buat saya,” ujarnya.

Mengulas komen tidak sesuai membawakan watak hero disebabkan wajah keanak-anakan, Afieq atau nama sebenarnya, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, karakter Hairi yang dilakonkannya itu bersesuaian dengan imej yang ditampilkan.

“Saya membawa peranan lelaki berkahwin muda dalam drama Diari Seorang Lelaki.

Sebagai lepasan sekolah, sudah tentu imej saya tidak boleh digambarkan terlalu matang.

“Saya pernah cuba membiarkan wajah ditumbuhi misai, tetapi, nampak tidak kemas. Justeru, buat masa ini, saya lebih selesa dengan imej sebegini.

“Mungkin tahun depan baru saya bela misai atau jambang seperti yang diharapkan,” katanya sambil tertawa.

Menerusi drama arahan Johan Bahar ini, Afieq bergan-dingan dengan Yuna Rahim memegang watak sebagai Nisa.

Turut membintangi drama termasuklah Keith Foo, Fimie Don, Aida Othman dan Sani Sudin. – Agensi