MALAM ini berbeza dari malam sebelumnya. Kelihatan kilat terukir di dada langit yang gelap gelita. Angin berderu-deru melanggar permukaan fizikal di bumi. Dahan dari pepohon berlanggaran seperti berbisik. Terdengar bunyi daun-daun kering dikeliling kawasan berhampiran berderap-derap seperti dipijak sesuatu.
Damia memandang langit yang tidak berbintang. Bulan mengembang sedang menyorok di sebalik awam hitam. Salakan anjing mula bergema beriringan dengan suara mengalunkan butiran memuji Allah. Fikiran Damia bagaikan terbeku seketika. Sesuatu yang asing sedang berlaku di depan mata. Tidak pernah dia mengalami perkara yang menyeramkan begini.
Bau belerang menyerbu di rongga penafasan. Jari Damia mula memicit-micit hidung. Damia menoleh ke kanan dan ke kiri untuk mencari sumbernya hinggalah titik pandang mati pada Diana. Damia terkejut. Kedua tangan Diana ke kiri dan kanan bagaikan menari tarian Jawa. Lalu Diana bingkas bangun dan mula berlenggok pinggul diiringi gerakan kaki dan tangan serentak. Sesekali dia akan berhenti untuk satu gaya dan menari lagi.
Damia terus merenung Diana yang sedang menari. Dia begitu terpesona dengan tarian yang ditunjukkan. Selendang kuning diraja yang menutupi wajahnya beralun lembut bila ditiup angin. Lemah gemalai, Damia terdengar suara. Ya, suara merdua. Makin lama makin kuat. Dia bagaikan berkhayal dengan keindahan lirik dan alunan melodinya. Gamelan yang mengiringi menambah keasyikkan. Damia tersenyum dan badannya bergoyang lembut kerana menghayati irama. Muncul kegembiraan diruang matanya. “Damia!” Serentak Damia tersedar. Nafasnya sangat kencang. Muka ustaz Azhar dipandang. “Jangan tergoda! Sedarlah! Ingat pesanan saya!” sempat ustaz Azhar mengingatkan Damia.
Damia mula membaca beberapa potong ayat dan berzikir. Mulutnya tidak lepas dari memuji Allah. Kepada Allah dia meminta kekuatan dan kepada Allah dia meminta perlindungan. Diana makin rancak menari. Dia menyeret kakinya yang tidak dilindungi kasut atau selipar. Dia terkangkang sambil melentikkan jari kaki. Pergerakkan tangan lebih laju daripada peraturan tarian biasa. Diana nampak mahir menari. Dia berpusing-pusing di keliling Damia sambil menggoyangkan kepala. Terlonjak perasaan takut bila terlihat darah yang terserap pada kain kuning. Buih-buih putih jatuh atas rumput dan mengeluarkan bau hanyir dan berasap.
Diana berpusing-pusing dan terjatuh di depan Damia. Lalu dia terbaring. Diana tercungap-cungap. Diana menghulurkan tangan pada Damia. “Akak, sakit.” Suara Diana yang pilu menarik perasaan simpati. “Tahanlah, dik.”
“Suruh mereka berhenti. Diana rasa nak mati bila dengar suara mereka.” Diana merayu. “Sabarlah, dik.” Damia hiba. “Akak, mari ke sini. Bantu Diana bangun. Tolonglah, sakit, benda ni seksa Diana.” Diana mula menangis teresak-esak. “Kalau akak sayang Diana, kemarilah. Tolong Diana kak.”
Damia menitiskan air matanya. Bukan salah Diana hingga terseksa begini. Damia bingkas bangun. Dia hampir melangkau garisan sempadan tetapi Damia ditolak masuk semula oleh ustaz Azhar. Ustaz Azhar memukul lembut tubuh Diana dengan rotan yang hanya sebesar jari kelingking. Tetapi bagi Diana, pukulan itu seperti merobek kulit, daging dan tulangnya.
“Jangan ustaz! Bukan salah dia.” Damia sayu hati melihat Diana meraung kesakitan. “Jangan terpedaya! Benda tu cuba menggoda kamu keluar daripada bulatan. Kalau kamu keluar, benda tu akan masuk ke badan kamu dan adik kamu yang akan mati.” Damia terduduk di tepi bulatan. Tangisannya berterusan.
Diana bingkas bangun dan dia kembali menari. Ustaz Azhar tidak berhenti memukulnya. Diana menjerit tetapi dia makin galak merenggang badan dan bergerak seperti tulang leher dan sendi badan patah semuanya. Damia meneguk air liur ketika melihat aksinya. Di belukar, nampak sesuatu bergerak keluar. Beberapa ekor anjing hitam berdiri merenung arah Damia. Lidah terjelir dan matanya berwarna merah. Giginya tajam seperti mata pisau. Haiwan-haiwan itu berdiri dalam keadaan bersedia untuk menyerang walaupun mereka tidak dapat melepasi garisan garam.
Diana menggeluarkan sehelai sapu tangan sutera berwarna putih dari poket seluar dan diselitkan dicelah jari telunjuk dan jari hantu. Dia mula melambai-lambai sapu tangan sutera itu menghala ke bulan. “Damia binti Norain.” Diana menyebut nama kakaknya dan berbintikan ibunya. “Aku minta pengabdian jasad dan rohmu. Aku minta serahkan hayat dirimu. Tunduk dan sujud padaku. Patahkan takdirmu dan dampingi aku.” Diana mengulang seruan yang pernah Azam lafazkan ketika berdiri di atas tanah berhadapan anak tangga bongsu dan melambaikan tangan bersama sapu tangan menghala ke bulan purnama setiap malam terpilih iaitu malam Jumaat. Ada mantera yang turut bersama mengiringi seruannya.
“Diana mengulang upacara yang selalu Azam buat. Damia, terus berzikir.” Pesan ustaz Azhar. Dia terus membantai Diana dengan rotan sambil membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Diana terduduk di sebelah Damia tetapi di luar lingkaran garam yang ditaburkan. Diana nampak kepenatan. Tubuh badannya lebam. Kukunya bertukar warna ungu dan dicelahnya keluar darah. Ustaz Azhar berlalu di depan Damia. “Dia sudah lemah.”
Azam yang diam dari tadi mula bersuara. Dia ketawa mengekek. Dari penglihatan Damia, biji mata Azam bagaikan tersembul seperti sesumpah. Mata putihnya merah menyala. Kulit badannya hitam hangus. Dia merenung Damia. “Belaan Azam boleh menang kalau darah kamu tumpah ke bumi. Darah kamu adalah perjanjian dirinya dengan iblis tu. Jadi, jangan biarkan dia menyentuh dan mencelakakan kamu.”
Ustaz Azhar dan beberapa orang berjubah putih memegang Azam. Azam meronta kesakitan. Tapak kakinya dilibas dengan rotan berulang kali. Anjing yang menanti disempadan menyalak kesayuaan. Tak semena-mena guruh berdetum detam tanpa henti. Hujan renyai mula menyimbah bumi. Hutan sebelah sana kelihatan makin menyeramkan. “Damia, kalau awak memahami keinginan saya, semua ini tidak akan terjadi. Tidaklah saya merana begini. Tolonglah saya, tamatkan sengsara ini.” Azam merayu.
Damia tidak menghiraukan kata-kata Azam. Bukan salah dia jika Azam memilih jalan hitam. Dia terus berzikir walaupun diganggu tangisan Diana. Kain yang membalut mukanya seperti ditarik pergi. Damia memejamkan mata. Tidak mungkin dia menunggu untuk melihat muka Diana. “Kak, tengok ni.” Pinta Diana. “Tengoklah, sekali aje.” Diana merayu dengan suara hiba. Tidak sanggup Damia menolak pemintaan Diana. Damia membuka perlahan-lahan kelopak matanya. Diana tersengih padanya. Matanya terbelalak. Keningnya tajam meruncing ke atas. Mulutnya penuh dengan buih-buih dan darah. Pipinya terbelah hingga menampakkan isi kerana dicakar-cakar. Rambutnya menggerbang.
Diana mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya dan mula memotong pergelangan tangan kiri berulang kali tanpa rasa sakit. Sambil ketawa, Diana bersenandung. Mahluk itu menggunakan Diana untuk mengumpan perasaan sayang seorang kakak kepada adiknya. Damia mendekati Diana. Dia merayu pada adiknya supaya menghentikan perbuatan itu. Tapi Diana tidak peduli. Ustaz Azhar yang sedang sibuk mengubati Azam tidak menyedari apa yang berlaku antara dua adik beradik itu. “Ustaz…” Damia memanggil.
Ustaz Azhar menoleh. Wanita itu tersengih padanya. Bukan sengihan biasa tetapi penuh dengan kemenangan. Damia berada di luar bulatan. Dia sedang memegang Diana yang sudah terbaring tidak bernyawa. Ustaz Azhar mengerutkan muka. Dia tahu, jiwa manusia yang paling lemah adalah ketika di saat kemuncak kesedihan atau kegembiraan. Situasi yang memudahkan mahluk halus meresapi jasad anak Adam dan Hawa. Pesanan ustaz Azhar diingkari. Nyawa Diana terkorban akhirnya. “Tok imam, susah kita nak mengubat Azam kalau tubuh Damia dah dimasuki mahluk halus. Biar saya gunakan jalan terakhir. Saya nak bunuh dia secara batin. Sementara itu, tok imam uruskan anak saya. Saya serahkan segala-galanya.” tok imam mengangguk. Ustaz Azhar mendapatkan Damia.
Usaha 10 lelaki berjubah putih diteruskan. Azam dipaksa menerima pelbagai alternatif untuk membebaskan dirinya daripada terus dicengkam ilmu yang dituntut. Sebiji telur digolek-golekkan ketubuhnya. Bisa badan Azam ingin dikeluarkan. “Ayah, sakit.” Azam tidak tahan. Ustaz Azhar tidak mempedulikan kata-kata anaknya. Mahluk itu masih di dalam tubuhnya. “Maafkan Azam… maafkan Azam…” kata maaf dilemparkan namun senyuman mengiringi ejekkan. Ustaz Azhar dipermainkan.
Ustaz Azhar menangkap dan menyimpul pergerakkan Damia. Susah juga untuk ustaz Azhar mengunci pergerakkannya kerana kekuatannya bukan seperti seorang wanita tetapi bagaikan 10 orang lelaki yang berbadan sasa. Sehelai sejadah dilipat dan diletak di atas lehernya. Sebilah keris dikeluarkan dari sarungnya. Ustaz Azhar mula membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil menyembelih mahluk tersebut.
“Aku tidak akan mati. Jangan harap aku akan berhenti. Pengikut aku ramai! Damia tidak akan lepas bebas!” Suara garau keluar dari mulut Damia.
“Allahuakhbar!” Ustaz Azhar menjerit. Serta merta Damia memejamkan mata. Dia terasa bagaikan ada satu bebanan berat keluar dari tubuhnya. “Alhamdullilah,” ustaz Azhar bersyukur. Mahluk itu sudah mati tetapi di alamnya dia masih hidup. Dia memerhatikan tapak tangan dan muka Damia. Mujur tiada yang luka. Dia bimbang darah menitis ke bumi. Dia membaringkan Damia. Lalu berlari ke arah anaknya.
Sekitar sejam digunakan untuk membantu Azam. Anjing melolong seperti tangisan kehilangan. Hujan yang turun semakin reda. Angin yang kasar kini sepoi-sepoi bahasa. Akhirnya, mahluk itu keluar dari tubuh Azam. Yang tinggal hanya bisa-bisa. Selepas ini Azam harus berjumpa dengan tok imam di Kampung Tujuh Tanah untuk diubati lagi.
Ustaz Azhar mengerling jam tangannya. Waktu sudah menginjak jam dua pagi. Ustaz Azhar meminta tok imam menguruskan jenazah Diana. Jenazah Diana akan di hantar ke sebuah tanah perkuburan di Selangor selepas dikafankan dan disembahyangkan. Azam pula dipindahkan ke rumah penghulu sehingga anaknya mendapat kembali tenaga sebelum pulang ke rumah.
Damia menangis berjam-jam sedari bahawa adiknya telah pergi selama-lamanya dan tanpa ibu bapa di dunia, Damia hilang tempat bermanja. Damia menyesal. Sepatutnya dia tidak keluar dari bulatan itu dan menyerahkan segalanya kepada ustaz Azhar. Tetapi siapa yang mampu menghalang seorang kakak dari menyelamatkan adiknya yang sedang sengsara.
Damia mengerling Azam yang terbaring di ruang tamu. Lelaki itu dari tadi memandang Damia yang bersila di muka pintu. Dia merenung tanpa mengerlipkan mata. Mulutnya bergerak-gerak. Seakan sedang mengatakan sesuatu tetapi Damia tidak memahaminya. Damia melawan pandang pada Azam. Lelaki itu tersenyum. Tak semena-mena Damia rasa meremang.
Damia menjeling. Terbuku rasa marahnya pada Azam. Kalau tiada undang-undang bagi jenayah membunuh, sudah lama Damia mencekiknya hingga mati. Ustaz Azhar duduk di sebelah Damia sekali gus melindungi pandangan masing-masing. “Malam ini berlalu seperti yang tidak dirancang. Tetapi ini semua kuasa Allah. DIA yang menentukan segala-galanya. Saya minta kamu bersabar dengan ujian ini.”
Damia merenung jenazah adiknya yang sedia dimandikan oleh penduduk kampung. “Apa salah saya, ustaz? Kenapa saya terpaksa melalui semua ini? Kenapa takdir saya begini?” Ustaz Azhar menundukkan muka. Dia malu dengan perbuatan anaknya. Tetapi apa yang boleh ustaz Azhar lakukan. “Maafkanlah Azam,” itu sahaja yang mampu Ustaz Azhar katakan. Damia menyeka air matanya namun tiada berhenti ia mengalir.
Menjelang fajar, sebuah teksi memasuki perkarangan rumah penghulu. Ustaz Azhar membuka pintu teksi untuk Damia. Dia akan pulang dulu dan menyediakan sedikit persiapan di rumahnya. Saudara mara yang lain juga mahu melihat arwah sebelum dikebumikan. “Teruskanlah hidup dan lupakan apa yang sudah terjadi.” Damia tidak berkata apa-apa. Dia nampak sunggul dan tidak bermaya. “Janganlah bimbang. Makhluk jahat itu sudah pergi. Dan saya jamin, Azam tidak akan mencari kamu lagi. Jaga diri.”
Teksi susur keluar dari jalan Kampung Tujuh Tanah. Pandangan ustaz Azhar mengiringi pemergian Damia. Ustaz Azhar menghela nafas kelegaan. Semuanya telah selesai. Angin bertiup keras secara tiba-tiba hingga meremangkan tengkuknya. Ustaz Azhar tertoleh ke kiri dan ke kanan. Tidak semena-mena dia rasa tidak sedap hati. Dia kembali memandang teksi yang dinaiki Damia yang makin hilang dari pandangan. Dia berharap semuanya benar-benar berakhir. Janganlah Azam menyeru dan berdampingan dengan belaannya lagi.
Pemandu teksi memandang cermin pandang belakang. Gadis yang kelihatan murung tadi tersengih-sengih seorang diri. Pemandu teksi itu segera mengalih pandang. Seram!
“Siapa kata aku dah pergi? Siapa kata?” Damia Nasuha ketawa. Belaan Azam banyak. Satu pergi, diganti yang lain. Damia akan kekal menjadi peneman lambaian bulan. Hamba Azam bin Azhar. Bila kami bertemu semula, tiada sesiapa dapat pisahkan.” Damia merenung luka kering di lengannya. Darahnya telah menitis ke bumi bila Diana tergores pisau lipat ke tangannya. Setitis sudah memadai untuk melengkapkan syarat pemilikkan Damia untuk Azam selama-lamanya. Selama-lamanya!
“Dan di antara manusia dan orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah:165). Ibnu Abbas r.a berkata: “Musuhmu yang paling ketat dan sangat berbahaya ialah nafsumu, dia itu berada di antara dua rusuk kamu.”