Kereta mewah jenama Lamborghini Aventador milik pelakon RaffiAhmad yang terbakar di Sentul, Bogor, Jawa Barat pada tahun 2019 lalu kini sudah siap sedia untuk kembali beraksi.
Menurut laporan Tabloid, Raffi berkongsi foto terkini kereta berharga RM5.6 juta yang sudah siap dibaiki di sebuah bengkel.
Kenderaan mewah yang dimodifikasi menyerupai kereta watak adiwira Batman itu bakal dibawa pulang ke rumah dalam masa terdekat.
“Si Banteng. Dia akan kembali ke kandangnya tak lama lagi,” tulis Raffi pada ruangan kapsyen.
Suami kepada pelakon Nagita Slavina ini bagaimanapun tidak menyatakan bila kereta itu akan dibawa pulang.
Perkongsian Raffi itu mengundang pelbagai komen pengikut dan rata-rata turut gembira apabila mengetahui kereta itu masih dapat diselamatkan selepas dua tahun insiden kemalangan.
Pada 19 Oktober 2019, kereta mewah itu dilaporkan terbakar dengan tiba-tiba selepas mengeluarkan percikan api.
Insiden itu menyebabkan sebahagian besar kenderaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk.
Semasa kemalangan itu, kereta itu dipandu oleh pemandunya. – Agensi
