MILAN, 21 MAC – Pengeluar kereta sport Itali, Lamborghini, hari ini melaporkan jualan rekod pada 2023 dengan penghantaran ke seluruh dunia melebihi 10,000 unit buat kali pertama, dibantu oleh kejayaan SUV Urusnya.
“2023 adalah tahun terbaik pernah direkodkan,” kata jenama itu dalam kenyataan media, dengan jualan meningkat 12.1 peratus kepada 2.66 bilion euro (AS$2.9 bilion) dan penghantaran naik 9.5 peratus kepada 10,112 buah kenderaan.
Keuntungan operasi mencecah 723 juta euro, meningkat 17.8 peratus, dengan margin operasi melebar kepada 27.2 peratus, kata Lamborghini, yang dimiliki oleh pembuat kereta Jerman, Volkswagen. Ketua Pegawai Eksekutif, Stephan Winkelmann, berkata prestasi rekod itu ‘bermakna pilihan dan visi kami adalah betul dan menyumbang kepada pertumbuhan organik syarikat.’
Semua baki pengeluaran versi enjin gas SUV Urus dan kereta sport Huracan sudah habis dijual sepenuhnya sebelum digantikan dengan versi hibrid baharu pada penghujung 2024.
Pengganti Huracan juga akan diumumkan tahun ini, katanya.
Sementara itu, terdapat penantian dua tahun untuk supercar Revuelto, kata Lamborghini.
Jenama kereta sport itu, yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun lepas, membuat penampilan pertama tahun ini dalam kategori utama kejohanan ketahanan dunia, dengan kereta lumba hibrid SC63. Ia merancang untuk mengeluarkan kereta elektrik pertama sepenuhnya, sebuah coupe empat tempat duduk, pada 2028. – AFP