Wednesday, March 26, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lamine balas kritikan Van der Vaart

    VALENCIA, 25 MAC – Lamine Yamal menjaringkan gol yang luar biasa tetapi turut gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam satu lagi malam penuh cemerlang buat bintang remaja Barcelona itu, ketika Sepanyol mara ke separuh akhir Liga Negara-negara.

    Pemain berusia 17 tahun itu memukau penonton dalam keputusan seri 3-3 menentang Belanda pada Ahad di Stadium Mestalla yang padat di Valencia, walaupun perasaannya bercampur-baur selepas Bart Verbruggen menyelamatkan sepakan penaltinya dalam penentuan.

    Sepanyol akhirnya melangkah ke separuh akhir selepas menang 5-4 menerusi penentuan penalti, dalam satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Yamal ke puncak dunia bola sepak.

    Sebagai pemain utama Barcelona dan pemenang Euro 2024 bersama Sepanyol hanya sehari selepas menyambut ulang tahun ke-17 pada Julai lalu, larian Yamal di sayap kanan sering mengundang keterujaan penyokong serta perbandingan dengan legenda Argentina, Lionel Messi.

    Sambutan paling gemuruh ketika nama pemain diumumkan oleh juruhebah Mestalla jelas diberikan kepada Yamal, dengan namanya tertera di belakang sebilangan besar jersi Sepanyol yang dipakai peminat.

    Aksi Lamine Yamal (kiri), berebut bola semasa perlawanan suku akhir kedua UEFA Nations League menentang Belanda, pada Ahad, 23 Mac 2025. – AP

    Momen paling berharga malam itu adalah jaringan menakjubkan Yamal pada masa tambahan, apabila dia mengawal hantaran tinggi Dean Huijsen dengan satu sentuhan halus, berpusing untuk mencari ruang dan melepaskan rembatan melengkung menewaskan Verbruggen di gawang Belanda.

    Gol itu menjadi jawapan sempurna kepada kritikan yang timbul selepas persembahan yang agak senyap dalam keputusan seri 2-2 pada perlawanan suku akhir pertama di Rotterdam minggu lalu.

    “Saya melihat beberapa perkara yang mula mengganggu saya… seluar pendek sedikit labuh, kurang usaha,” kata bekas pemain kebangsaan Belanda, Rafael van der Vaart.

    Yamal membalas kritikan itu di atas padang, dan juga di luar dengan satu hantaran di Instagram selepas perlawanan.

    “Seluar pendek ke bawah, satu gol, satu penalti terlepas dan ke separuh akhir, ayuh Sepanyol!” tulis Yamal di platform media sosial itu, disertai dengan gambar wajah Van der Vaart.

    Yamal bukan pemain yang gentar untuk membalas pengkritiknya, seperti yang ditunjukkannya sebelum ini dengan sindiran terhadap Adrien Rabiot semasa Euro, selepas membantu menyingkirkan Perancis dengan satu jaringan sensasi.

    Sepanyol kini bakal berdepan Perancis sekali lagi di separuh akhir Nations League, dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi buat pertama kali pada tahun 2023. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda