Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lampard dipecat sebagai pengurus Everton

    LONDON, 24 JAN – Frank Lampard dipecat sebagai pengurus Everton kelmarin selepas kurang setahun mengendalikan kelab Liga Perdana yang sedang bergelut itu.

    Lampard dilantik oleh Everton untuk menggantikan Rafael Benitez pada Januari 2022, dimana bekas bos Chelsea itu mula memimpin pasukan itu ketika berada di tangga ke-19.

    Everton tewas 2-0 di tangan pencabar penyingkiran West Ham Sabtu lalu, kekalahan kesembilan dalam 12 perlawanan terakhir Liga Perdana yang menyebabkan mereka menyamai mata dengan kelab tercorot, Southampton.

    Pemilik Everton, Farhad Moshiri sebelum ini menawarkan sokongan awam untuk Lampard.

    Tetapi kekalahan di West Ham membuktikan itu adalah peluang terakhir daripada Moshiri, yang berada di perlawanan untuk menonton Everton buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan.

    Gambar yang diambil pada 6 Januari 2023, Frank Lampard bertepuk tangan selepas perlawanan bola sepak Piala FA Inggeris antara Manchester United dan Everton di Old Trafford di Manchester, England. – AP

    Selepas beberapa jam Lampard dilaporkan telah dipecat, Everton akhirnya mengesahkan berita mengenai pengurus berusia 44 tahun itu pada petang kelmarin.

    “Kelab Bola Sepak Everton boleh mengesahkan bahawa Frank Lampard telah meninggalkan jawatannya sebagai pengurus pasukan utama hari ini,” menurut kenyataan kelab.

    “Semua orang di Everton ingin mengucapkan terima kasih kepada Frank dan kakitangan kejurulatihannya atas perkhidmatan mereka selama 12 bulan yang mencabar.

    “Komitmen dan dedikasi Frank dan pasukannya telah menjadi contoh sepanjang mereka di kelab, tetapi keputusan terkini dan kedudukan liga semasa bermakna keputusan sukar ini perlu diambil.

    “Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Frank dan semua pasukan kejurulatihannya untuk masa depan masing-masing.

    “Kelab telah memulakan proses untuk mendapatkan pengurus baharu dan akan memberikan maklumat terkini mengenai pelantikan itu dalam masa terdekat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda