Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lampard rasai tekanan, hanya seri menentang Villa

    LONDON, 29 DIS – Chelsea gagal untuk meredakan tekanan yang semakin menggunung ke atas pengurus mereka, Frank Lampard selepas Aston Villa kembali dari ketinggalan untuk meraih mata dalam perlawanan berkesudahan seri 1-1 di Stamford Bridge kelmarin, sementara itu, penularan koronavirus di Manchester City telah menyebabkan pertemuan menentang Everton terpaksa ditunda.

    Pasukan Lampard hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan liga mereka dan berada enam mata di belakang pendahulu, Liverpool di kedudukan keenam dan bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan juara bertahan.

    Chelsea turut berada di belakang Villa dengan perbezaan gol, meskipun pasukan Dean Smith mempunyai kelebihan dua perlawanan, dan pasukan pelawat dilihat berhak meraih mata.

    “Ketika ini adalah saat yang sukar dan anda perlu berjuang untuk menempuhinya,” kata Lampard. “Tiada sesiapa yang mengecewakan saya malam ini, semua orang berusaha, kami hanya perlu berusaha. Kami hanya tidak bernasib baik.”

    Lampard melakukan enam perubahan dari pasukan yang ditewaskan oleh Arsenal 48 jam yang lalu.

    Aksi Anwar El Ghazi membuat percubaan melepasi penjaga gawang Chelsea, Edouard Mendy dalam pertemuan berkesudahan seri 1-1. – AP

    Olivier Giroud yang dimasukkan dalam senarai pemain dan pemain kebangsaan Perancis itu membuktikan kemampuan dengan tandukan tepat selepas menerima hantaran lintang daripada Ben Chilwell untuk membuka jaringan dengan gol kesembilan pada musim ini.

    Sebagai perbandingan, Smith hanya membuat satu pertukaran dari pasukan yang bermain 45 minit dengan 10 orang pada Sabtu di mana mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace.

    Tetapi Villa tidak menunjukkan tanda-tanda merasa penat pada separuh masa kedua dan menyamakan kedudukan apabila Anwar El Ghazi menjaringkan gol kelima selepas menerima hantaran lintang lima minit selepas separuh masa kedua.

    “Saya masih belum melihat pemain merasa keletihan di luar padang,” kata Smith.

    “Saya sangat percaya jika anda ingin bermain dalam setiap perlawanan dan jika mereka bermain dengan baik, kekalkan permainan anda.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda