Lampard taruh harapan untuk Piala FA

LONDON, 30 JULAI – Frank Lampard telah menaruh harapan untuk mengakhiri musim pertamanya yang mengagumkan sebagai pengurus Chelsea dengan memimpin the Blues ke final Piala FA menentang Arsenal pada Sabtu ini.

Lampard sebelum ini meraih empat trofi kemenangan Piala FA sebagai pemain Chelsea, tetapi mendapatkan trofi pertama dalam kariernya sebagai pengurus yang baharu akan menjadi detik yang lebih penting bagi bekas pemain berusia 42 tahun itu.

Setelah berjaya memimpin Chelsea ke Liga Juara-Juara musim depan dengan mendapatkan kedudukan empat teratas di Liga Perdana Inggeris, Lampard menuju ke Wembley dengan positif.

Ini menunjukkan bukti kebolehan Lampard di mana, hanya pada musim keduanya sebagai pengurus, dia telah memimpin Chelsea selepas kelab itu bergelut selama 12 bulan.

Apabila Lampard tiba di Stamford Bridge pada bulan Jun 2019 setelah satu musim menjadi pengurus pasukan divisyen kedua, Derby, dia membawa harapan baik untuk penyokong yang mengidolakannya selama 13 tahun mencatat kegemilangan bersama kelab.

Tetapi ramai pengulas bola sepak meragui sama ada Lampard adalah orang yang sesuai untuk mengembalikan Chelsea ke landasan yang betul berikutan kegagalan Maurizio Sarri sebelum ini.

Taktik Sarri tidak sesuai dengan beberapa bintang Chelsea, mengasingkan mereka dengan rejim latihan dan taktik yang tidak fleksibel.

Memperbaiki keretakan di bilik persalinan Chelsea bukan satu-satunya masalah yang dihadapi Lampard, yang juga harus menangani larangan perpindahan kelab musim panas lalu dan penjualan pemain Belgium, Eden Hazard kepada Real Madrid sebelum ini. – AFP

Pengurus Chelsea, Frank Lampard ketika memerhatikan perlawanan dari tepi garisan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Chelsea di Stadium Anfield, Liverpool, England, pada 22 Julai. – AP