Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, Negara Brunei Darussalam kelmarin memeriahkan acara berkenaan dengan menyalakan lampu berwarna biru, hijau, putih dan merah di beberapa lokasi utama termasuk Jambatan Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien (SHOAS) dan Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu tersebut akan berlangsung dari 20 hingga 22 November bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam. Inisiatif itu merupakan tanda sokongan dan peringatan terhadap Hari Kanak-Kanak Sedunia, di samping mencerminkan komitmen negara dalam meratifikasi konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC). Tema sambutan tahun ini ialah Dengarkan Suara Masa Depan atau Listen to the Future.
Pemilihan warna biru adalah bersempena warna tema Hari Kanak-Kanak Sedunia, yang turut menjadi warna rasmi United Nations Children’s Fund (UNICEF). Sementara itu, warna hijau, putih dan merah melambangkan keprihatinan masyarakat negara ini terhadap keadaan rakyat dan kanak-kanak di Palestin. Penyalaan warna-warna tersebut menzahirkan perpaduan dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan kanak-kanak di seluruh dunia.
Orang ramai turut digalakkan untuk mengambil gambar di lokasi yang diterangi lampu biru dan memuat naiknya ke media sosial menggunakan tanda pagar #WCD2025 sebagai tanda sokongan bersama menghormati dan melindungi hak setiap kanak-kanak.


