Oleh Amri HTZ –
Hasil kesenian yang memanfaatkan bukan sahaja barangan yang ringkas, malahan mudah untuk mendapatkannya, merupakan tindakan yang sering dipilih oleh seorang pereka.
Selain menjimatkan kos, ia juga mempercepat pelaksanaan projek rekaan. Walaupun diperbuat daripada barangan yang cukup ringkas, jika bijak mengolahnya, kehadirannya setentunya mampu menyerikan sebahagian ruangan rumah seperti yang diinginkan.
Projek kali ini akan membawa awda menelusuri langkah pembuatan lampu dinding yang cukup mudah untuk dilakukan. Sebelum memulakannya, sediakan barangan diperlukan.
Barangan yang diperlukan
Helaian aluminium
Mekanisme lampu
Transfer tape
Mesin scroll saw
Gunting
Mesin gerudi
Metal snip
Flexible chopping mat
Plastic corner guard
Silver brad
LAKAR, POTONG DAN BENGKOKKAN
Untuk langkah pertama pembuatan, awda perlu melakar bentuk kaki bagi menempatkan lampu pada sekeping kertas berbentuk A4. Ukur saiz socket knob bagi lampu yang digunakan di mana dalam projek ini, lakaran dengan lebar 4 inci dan 3½ inci panjang secara keseluruhannya diperlukan. (gambar 2)
Kertas tersebut kemudiannya dijadikan templat yang akan dilekatkan pada permukaan helaian aluminium tersedia. Gunakan pita perekat untuk membantu mengekalkan templat pada kedudukannya secara sementara bagi melaksanakan pemotongan menggunakan metal snip. Selain bahagian kaki lampu, awda juga perlu memotong bahagian sisi kertas tersebut yang menentukan ukuran sebenar lampu direka. (gambar 3)












Pada bahagian kaki lampu, hanya bahagian tengah untuk menempatkan socket knob dipotong sepenuhnya. Sementara bahagian keseluruhan kaki lampu hanya akan dipotong bahagian sisinya yang kemudiannya dibengkokkan 90 darjah bagi mendapatkan kedudukan lampu berdiri. (gambar 4)
CETAK ATAU LAKAR BENTUK TERENDAK (SHADE) LAMPU
Bentuk daun akan dipilih sebagai shade untuk lampu rekaan dalam projek ini. Bentuk tersebut hanya akan menggunakan bahagian tulangnya bagi memastikan keseluruhan cahaya dihasilkan lampu tidak terlalu terhalang. Cetak gambaran diperlukan menggunakan mesin atau hanya melakarnya pada sekeping kertas memandangkan ia tidak terlalu sukar untuk dilakukan. (gambar 5)
Bagi awda yang mahir dalam menggunakan perisian komputer dan memiliki mesin pemotong pelekat, langkah memotong corak diperlukan cukuplah mudah. Sementara bagi yang melakukan secara manual, pastikan pisau utiliti digunakan cukup tajam dan meletakkan alas pemotong pada bahagian belakangnya untuk melindungi meja kerja. (gambar 6)
Setelah memotong pelekat mengikut bentuk lakaran, kini perekat bahagian dalam corak tersebut boleh diasingkan. Gunakan pisau utiliti atau sebarang alat yang mempunyai bahagian hujung menajam untuk memudahkan awda mengasingkan permukaan perekat daripada bahagian belakangnya. (gambar 7)
Dalam memastikan perekat yang telah dipotong mudah untuk dipindah ke permukaan rekaan, transfer tape akan dilekatkan pada permukaan pereka. Langkah ini
akan memudahkan kesemua bahagian perekat ditanggalkan daripada bahagian belakangnya dan bagi mengelakkan sambungan kecil terputus ketika proses tersebut. (gambar 8)
Dengan langkah melekatkan permukaan perekat dengan transfer tape sebelumnya, kini awda boleh melekatkannya pada permukaan flexible chopping mat berwarna putih.
Gosok keseluruhan permukaan perekat menggunakan sekeping kad plastik untuk memastikannya benar-benar melekat. Lebihan chopping mat tersebut kemudiannya dipotong menggunakan gunting. (gambar 9)
CANTUM CORNER GUARD GUNA LEBIHAN PELEKAT
Bagi menetapkan kedudukan plastic corner guard yang berfungsi mencantumkan keseluruhan bahagian rekaan, lebihan pelekat yang digunakan bagi permukaan utama lampu akan digunakan. Untuk itu, potong perekat sesuai ukuran corak rekaan kemudian lekatkan dengan cara berlapis dengan bahagian hujung corak berada pada lapisan teratas. (gambar 10)
Langkah seterusnya diikuti dengan menebuk plastic corner guard dan bahagian belakang (helaian aluminium dipotong sebelumnya) menggunakan gerudi pada kedudukan yang sama. (gambar 11)
Lubang yang telah ditebuk kemudiannya akan dimasukkan dengan silver brad dengan bahagian berkepala pada bahagian dalam dan yang menajam pada belakang rekaan.
Dengan hanya perlu mengembangkan kedua-dua besi silver brad tersebut, lampu rekaan kini hanya perlu dilengkapkan dengan mekanisme lampu dan ditetapkan pada ruangan bersesuaian untuk meneranginya, sekali gus menghiasinya.(gambar 12)
Tip rekaan
Pilih vinil pelekat yang berkualiti yang mampu merekat dengan kukuh agar ia tidak mudah tertanggal setelah digunakan dalam masa yang lama.
Memiliki corak berlainan dan chopping mat berlainan akan memberikan awda pilihan untuk menukar shade lampu kepada corak lain.

