Oleh Amri HTZ
Bukan semua orang ‘berani’ untuk melelapkan mata dalam keadaan tanpa ditemani cahaya terutamanya mereka yang takutkan kegelapan.
Sesetengahnya masih memerlukan cahaya untuk tidur lena disebabkan rasa ‘selamat’ yang dijanjikan kerana mampu melihat keadaan sekeliling berbanding keadaan gelap yang menghasilkan pelbagai imaginasi.
Untuk itu, dalam menangani masalah takut kegelapan berkenaan, pentingnya untuk memiliki lampu kecil untuk ruangan tidur yang boleh didapatkan sama ada dengan cara membelinya, mahupun merekanya sendiri.
Buat persediaan awal
Projek rekaan lampu tidur LED ini memerlukan awda menyediakan barangan seperti sebatang kayu berukuran 2 inci x 2 inci dengan panjang kira-kira 1.5m dan 2m, papan lapis 20sm x 20sm dengan tebal 5mm, mesin gergaji meja, gergaji jig atau kerawang, gam kayu, paku kecil atau stapler dengan panjang 50mm, perekat contact adhesive clear, kain linen nipis, gunting, mesin gergaji kayu meja dan pita pengukur.
Mudah, namun perlu perhatian
Untuk langkah pertama pembuatan, kayu 2 inci x 2 inci yang telah disediakan akan dipotong dengan ukuran yang diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu.
Mula-mula tetapkan rip fence dengan jarak 30mm dari bilah pemotong mesin dan sorongkan kayu tersebut perlahan untuk mendapatkan kayu berukuran 30mm x 30mm dengan panjang kira-kira 1.5m.
Sementara untuk sebatang kayu dengan panjang 2m pula akan dipotongkan dengan ukuran 10mm x 10mm juga menggunakan mesin pemotong kayu.
Perlu diingatkan ketika melakukan potongan kayu yang mempunyai ukuran kecil, gunakan push stick sebagai keselamatan.
Selain terdedah kepada bahaya bilah mesin, push stick juga mengelakkan jari terkena bilah pemotong jika berlakunya kick back.
Struktur lampu tidur LED yang diperbuat daripada kayu ini akan mempunyai dua rangka iaitu sampingan dan utama.
Rangka sampingan merupakan struktur yang akan memegang rangka utama, terletak pada bahagian luar. Rangka utama pula akan menempatkan mekanisme lampu yang akan diletakkan pada bahagian dalam rangka sampingan seperti yang boleh dilihat pada gambar rekaan.
Bagi mereka kedua-dua jenis rangka berkenaan, kayu berukuran 30mm x 30mm akan dipotongkan menjadi bahagian yang lebih kecil untuk mereka rangka sampingan lampu. Potongkan kayu dengan panjang 25sm dua batang, 17sm sebatang, 14sm sebatang, 8.5sm dua batang, 4sm sebatang dan 2sm sebatang.
Manakala bagi rangka utama, kayu berukuran 10mm x 10mm akan dipotongkan dengan panjang 20sm empat batang dan 13sm untuk lapan batang.
Potongan-potongan kayu berkenaan kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu dan paku kecil atau stapler sebagai sokongan sekali gus mengekalkannya sebelum gam mengering.
Teknik cantuman butt joint akan digunakan pada rekaan ini. Mulakan dengan mencantumkan struktur rangka sampingan iaitu kayu berukuran 17sm dan 14sm.
Bahagian salah satu hujung kayu 14sm akan dicantumkan pada permukaan kayu 17sm. Ini diikuti dengan kayu berukuran dua batang 25sm yang akan dicantumkan setiap satu pada bahagian hujung bawah kayu 17sm dan 14sm sebelumnya.
Manakala kayu berukuran 8.5sm akan dicantumkan pada bahagian sisi kayu 25sm berfungsi sebagai kaki rangka. Salah satu bahagian hujung kaki tersebut akan dicantumkan dengan kayu berukuran 4sm diikuti dengan 2sm pada bahagian atasnya berfungsi sebagai kaki rangka mekanisme lampu yang akan direka nanti.
Untuk rangka utama, kayu 17sm akan dijadikan sebagai tiang utama rangka yang akan dicantumkan dengan kayu berukuran 14sm pada bahagian bawah dan atasnya.
Bagi membolehkan meka- nisme lampu LED ditempatkan, bahagian bawah rangka utama akan cantumkan dengan rangka lampu yang diperbuat daripada papan lapis.
Dalam projek ini, bentuk rangka lampu tidaklah perlu mengikut 100 peratus bentuk yang direka, cukuplah hanya berbentuk X yang dapat dicantumkan kesemua bahagian hujungnya pada rangka utama dan berlubang pada bahagian tengah.
Ini kerana ia tidak akan jelas terlihat memandangkan ia akan ditempatkan pada bahagian bawah rangka utama.
Lampu jenis LED sengaja dipilih memandangkan ia kurang panas ketika dinyalakan berbanding lampu konvensional.
Selain itu, penjimatan tenaga, haba yang dikeluarkan lampu LED juga tidak berbahaya kepada linen yang digunakan dalam projek ini.
Bagi memudahkan proses rekaan tanpa mengukurnya lagi, letakkan bahagian bawah rangka utama pada permukaan papan lapis dan lakar bahagian luarnya menggunakan pensel. Lebar bentuknya pula kira-kira 30mm dan potong menggunakan gergaji jig atau kerawang.
Bahagian tengahnya pula tebuk dengan mata gerudi berukuran 8mm sesuai dengan ukuran wayar mekanisme lampu yang digunakan.
Selain itu, pada bahagian tengah rangka sampingan juga akan ditebuk bagi menempatkan wayar lampu LED.
Langkah seterusnya ialah melekatkan fabrik tersedia pada rangka utama lampu. Potongkan kain linen dengan lebar 27sm, lebih panjang daripada ketinggian rangka utama, dan lipatkan kedua-dua bahagian hujung ke dalam lebih kurang 5mm untuk menyembunyikan potongan.
Guna perekat contact adhesive jenis clear untuk mengekalkan lipatan tersebut.
Setelah itu sapukan gam pada permukaan luar rangka utama berkenaan sebelum menutupi keseluruhan bahagian sisinya dengan linen tersebut.
Dalam memberikan hasil akhir rekaan yang tampak berharga, rangka sampingan akan disapukan dengan wood stain jenis Rosewood. Warna wood stain yang dipilih perlulah sesuai dengan warna keseluruhan perabot digunakan dalam ruangan bilik agar tidak nampak terasing.
Setelah menempatkan mekanisme lampu menerusi ruangan wayar dan rangka khususnya, rekaan kini sedia untuk digunakan bagi menemani waktu tidur awda!