Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lampu paip PVC cukup unik

    Oleh Amri HTZ

    Dalam memanfaatkan barangan terpakai setelah terdapatnya lebihan daripada projek rekaan atau pembinaan dilakukan, ia setentunya mampu memberikan kelebihan pada diri sendiri.

    Selain mengurangkan kos rekaan, langkah tersebut juga penting bagi mengelakkan pembaziran jika terbuang begitu sahaja.

    Sediakan peralatan untuk rekaan

    Projek kali ini akan memanfaatkan lebihan paip PVC daripada kerja pembinaan yang telah dilakukan dengan mereka lampu daripadanya.

    Untuk itu antara barangan yang digunakan ialah seperti paip PVC repair coupling berdiameter 128 panjang 130mm, paip PVC berukuran 40mm, sekeping polycarbonte berketebalan 4mm lut sinar, washers, sekeping plat berketebalan 1mm dengan ukuran 120mm x 25mm, wing nut dan bolt berdiameter 5mm dan gunting besi atau mesin grinder.

    Buat satu persatu berhati-hati

    Pada langkah awal pembuatan, paip PVC yang telah disediakan akan dipotong dan ditebuk menggunakan gerudi bagi menempatkan nat dan bolt.

    Tumpukan perhatian kepada paip PVC berukuran 40mm (diameter) yang memerlukan awda untuk memotongkannya dengan sudut 60 darjah.

    Potongan paip PVC yang telah dilakukan dan beberapa batang bolt dan wing nut yang telah disediakan.
    Kaki lampu akan dikukuhkan dengan besi penyokong pada bahagian tengah bawah menggunakan bolt.
    Pendakap lampu LED yang telah direka dengan bentuk 90 darjah dan ditempatkan di bahagian dalam paip PVC berukuran besar.
    Kaki lampu daripada paip PVC yang telah ditebuk perlu dicantumkan menggunakan bolt dan nat.
    Polycarbonate yang telah dipotongkan menggunakan mesin skrol akan ditetapkan pada bahagian betah paip PVC berukuran besar.

    Dua potongan dengan ukuran sama diperlukan dalam langkah ini iaitu potongan berkepanjangan 20sm setiap satu.

    Pastikan setiap satu potongan mempunyai salah satu sudut hujung potongan 60 darjah manakala satu lagi potongan lurus (90 darjah).

    Sementara itu empat potongan paip PVC dengan panjang 40mm dengan sudut hujung 60 darjah juga diperlukan berfungsi sebagai penyokong bahagian kaki lampu. Teknik potongan juga melalui langkah sama iaitu menggunakan mesin pemotong atau gergaji besi.

    Setelah memotong paip PVC itu, langkah seterusnya ialah menebuk permukaan paip PVC bagi menempatkan nat dan bolt untuk mencantumkan keseluruhan bahagian.

    Mata gerudi berukuran 6mm atau 7mm sesuai dengan bolt yang digunakan.

    Tebuk paip berkepanjangan 20sm yang dipotong dengan sudut hujung 60 darjah pada kedudukan 30mm dari bahagian hujung. Proses penebukan juga akan dilakukan pada paip PVC repair coupling pada bahagian tengah kedua-dua sisi (sisi berlawanan).

    Ini bagi membolehkan bolt kaki lampu dimasukkan pada bahagian kedua-dua sisi.

    Permukaan kasar potongan dan bahagian yang ditebuk sebelumnya perlu dibersihkan dengan cara menggosokkannya menggunakan kertas pasir berukuran 800 grit.

    Selesai melakukannya, masukkan bolt berukuran 30mm panjang pada bahagian dalam PVC berukuran kecil diikuti sekeping washer pada bahagian luarnya.

    Kemudian masukkan bolt yang sama pada lubang yang telah ditebuk pada paip berukuran besar diikuti dengan sekeping washer sebelum mengetatkannya menggunakan wing nut daripada bahagian dalam paip.

    Lakukan langkah yang sama pada bahagian sisi paip yang satu lagi.

    Bagi memastikan paip sokongan untuk kaki lampu boleh dicantumkan, ia memerlukan awda untuk menebuk bahagian tersebut juga menggunakan mata gerudi berdiameter sama. Tebuk bahagian hujung paip PVC yang berukuran 40mm panjang dengan dua lubang untuk skru.

    Begitu juga pada permukaan hujung paip (kaki lampu) perlu ditebuk dengan dua lubang. Pastikan lubang pada bahagian paip PVC 40mm panjang ditebuk pada bahagian yang lebih panjang pada sudut permukaan 60 darjah.

    Pada langkah ini, awda boleh menggunakan skru atau bolt dan nat untuk mencantumkannya namun bagi memudahkan dan mengurangkan kos pembuatan, menggunakan skru dengan panjang 15mm sudah cukup memadai.

    Masukkan skru daripada bahagian dalam paip pendek tersebut pada kedua-dua belah bahagian kaki lampu. Langkah yang sama juga akan dilakukan pada bahagian kaki yang satu lagi.

    Sementara bahagian ten-gah kaki tersebut juga akan ditebuk dengan lubang bagi menempatkan nat dan bolt sebagai pengukuh kaki lampu dan juga stail. Pastikan awda menebuk Cuma satu permukaan iaitu bahagian dalam kaki lampu pada langkah ini. Dalam memastikan rekaan nampak kreatif, bahagian tengah bolt (di antara kedua-dua kaki lampu) akan dimasukkan dengan washer dan wing nut.

    Bagi menempatkan lampu pada bahagian paip PVC berukuran besar, terlebih dahulu awda perlu mereka pendakap (bracket) khusus lampu. Plat berketebalan 1mm yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 2sm x 12sm.

    Dalam memastikan ukuran tersebut dipotongkan dengan tepat, tandakan permukaan plat dengan pen penanda.

    Setelah itu potong dengan cara mengguntingkannya menggunakan penggunting besi atau mesin grinder. Selain itu penggunaan gergaji skrol manual juga boleh mendapatkan hasil sama tetapi perlu diingatkan, penggunaan bilah pemotong khusus aluminium atau besi diperlukan dalam langkah ini.

    Setelah memotongkannya, bengkokkan pendakap tersebut dengan sudut 90 darjah pada bahagian tengahnya.

    Salah satu bahagian hujungnya akan ditebuk dengan dua lubang bagi membolehkan wayar lampu LED untuk dimasukkan. Ini diikuti dengan menebuk soket lampu led (di kawasan sama) mengikut kedudukan dan sais lubang yang terdapat pada soket yang dimiliki.

    Permukaan pendakap yang satu lagi (bukan bahagian lampu ditempatkan) juga akan ditebuk dengan dua lubang bagi membolehkannya dicantumkan pada permukaan dalam paip PVC berukuran besar.

    Jarak kedudukan di antara dua lubang ini juga akan ditebuk pada bahagian dalaman paip PVC tersebut dan ditetapkan menggunakan bolt dan nat.

    Polycarbonate lut sinar yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 110mm diameter sesuai dengan besar paip PVC digunakan. Dua keping diperlukan dalam langkah ini iaitu untuk bahagian depan dan bahagian belakang. Untuk memasangkannya, keluarkan getah terdapat pada permukaan dalam paip dan selipkan bahagian sisi polycarbonate tersebut bagi memastikannya ia kekal pada kedudukan.

    Langkah terakhir ialah menempatkan suis lampu pada bahagian atas paip PVC berukuran besar. Kedudukan yang dirasakan cukup ideal ialah pada bahagian belakang (atas) bagi menjadikannya nampak tidak terlalu menonjol. Setelah mematerikannya, kini lampu unik yang telah direka daripada paip PVC boleh digunakan sesuai dengan keperluan lebih-lebih lagi ia mampu menyerikan lagi sesebuah ruangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda