Isteri kepada penyanyi Lan Solo berkongsi rasa sedih apabila mengenangkan nasib anak sulungnya iaitu Nur Amna Qaleesya yang sering menerima kecaman warganet
meskipun tidak melakukan sebarang kesalahan.
Nur Sheila Hassim berkata, hanya kerana Amna, 11, anak seorang selebriti semua yang dilakukannya tidak kena di mata orang ramai.
Jelasnya anak perempuannya itu terlalu kecil untuk faham dan berdepan dengan situasi tersebut malah sudah banyak mengorbankan masa kecilnya dengan perkara negatif.
Sheila berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya bagi menjawab pertanyaan diberikan oleh pengikutnya.
Dalam pada itu, Sheila mendedahkan Amna pernah hampir berputus asa dengan apa dilaluinya sehingga meminta bapanya iaitu Lan untuk tidak menjadi seorang artis.
Sheila bagaimanapun tertanya-tanya adakah warganet tidak pernah mengalami zaman kanak-kanak sehingga tidak pernah memahami situasi yang dialami oleh Amna.
Pun begitu, Sheila bersyukur kerana mempunyai sahabat iaitu Syura dan Fiza Halim yang sentiasa memberikan semangat buat Amna untuk tetap terus meneruskan minatnya.
Untuk rekod, Sheila dan Lan mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009.
Selain Amna, pasangan itu turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nur Amna Qeesyara, 8, Muhammad Akid Qassyaff, 7, dan Nur Amna Quxandra, 5. – Agensi
