Menjadi kumpulan gadis pertama dari Taiwan yang berjaya debut di Korea Selatan, GENBLUE bakal mengadakan jelajah promosi di seluruh Asia termasuk Malaysia tidak lama lagi.
Memetik laporan mStar, bagaimanapun bagi merealisasikan jelajah tersebut, GENBLUE perlu mengutip 30 juta tontonan menerusi muzik video terbaharu mereka iaitu Act Like That.
Act Like That merupakan EP pertama mereka mengandungi empat buah lagu yang bervariasi daripada rentak rancak hingga melodi menenangkan iaitu Act Like That, Oh!, Slow Down dan Feel Like Spring.
Bagi merakamkan album itu, ahli mereka iaitu Xxin, Yuan, Lili, Ayako dan Nico berusaha mempelajari bahasa Korea dengan baik.
Manakala Ayoen pula sememangnya ahli dari Korea Selatan yang turut membimbing ahli kumpulannya untuk bertutur bahasa berkenaan dengan baik.
Sejak dilancarkan, album itu juga menjadi bualan ramai terutama muzik video Act Like That yang menampilkan koreografi one-take serta memperlihatkan sisi berani tetapi ceria mereka. Ketua kumpulan Xxin memberitahu, album itu mencerminkan intipati sebenar GENBLUE.
“Kami dedikasikan ia kepada peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi!,” kongsinya.
Nama GENBLUE merupakan gabungan perkataan Generation dan Blue yang melambangkan semangat era baharu serta keluasan lautan yang tiada berpenghujung.
Kumpulan itu mula meriah populariti menerusi rancangan realiti Next Girlz pada tahun 2023 dan mendapat latihan intensif bersama jurulatih ternama dari JYP, YG, SM dan HYBE. – Agensi
