Lancar teknologi ekstrak fenolik sawit

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan teknologi mengekstrak fenolik sawit berkelas dunia yang dibangunkan oleh ahli sains di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Teknologi itu diperkenalkan semasa Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 yang berlangsung di sini hari ini. Fenolik sawit merupakan sebatian bioaktif boleh larut air yang amat berkhasiat.

“Kajian oleh MPOB membuktikan fenolik sawit memiliki pelbagai khasiat kesihatan termasuk aktiviti antioksida, antidiabetik, antihipertensi, perlindungan saraf dan antikeradangan.

“Ujian praklinikal dan klinikal mengesahkan ia amat berkhasiat dalam melindungi otak dan kesihatan jantung. Justeru, fenolik sawit digunakan secara meluas dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan, termasuk nutraseutikal, kosmeseutikal serta industri makanan dan minuman kesihatan,” kata Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata teknologi tersebut telah dilesenkan kepada Phenolaeis Sdn Bhd yang mempunyai hubungan kukuh dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT), rakan kongsi kerjasama MPOB.

Pada Disember 2017, Phenolaeis menjalinkan perkongsian dengan dua syarikat Mexico, iaitu Indus-trias AlEn dan Agroindustrias Unidas de México SA/ECOM Agroindustrial Corp untuk membina kilang pengeluaran fenolik sawit komersial pertama di dunia, berasaskan teknologi Malaysia sepenuhnya, di Palenque, Chiapas, Mexico. – Bernama