VIETNAM – Kebanyakan pelancong kelihatan sentiasa mencari slot yang hebat untuk dimuat naik dalam media sosial Instagram sama ada dengan berswafoto malah ada juga pelancongan yang berbaring. Begitulah yang sering berlaku di landasan kereta api di Vietnam yang sebenarnya masih lagi beroperasi.
Landasan kereta api ini terletak di tengah-tengah Old Quarter yang sentiasa sibuk di bandar raya utama Vietnam, Hanoi. Landasan kereta api yang telah dibuat oleh Perancis ini dipenuhi dengan kafe-kafe yang menyajikan kopi panas dan pelbagai jenis makanan serta sentiasa padat dengan kehadiran pelancong begitu juga penduduk-penduduk tempatan.
Walaupun pada dasarnya, landasan kereta api sangat cantik untuk merakamkan gambar namun landasan kereta api ini juga sangat bahaya untuk keselamatan setiap pelancong dan penduduk tempatan kerana kereta api akan melalui landasan ini setiap hari dan melalui laluan yang sempit itu.
Unik dan luar biasa
Tetapi kebanyakan pelancong dan penduduk tempatan berasa seronok apabila berada di landasan kereta api ini. “Landasan kereta api ini sangat luar biasa namun dalam masa yang sama ia juga sangat menakutkan, agak luar biasa kerana kita seakan-akan berada dekat dengan kereta api,” kata seorang pelancong dari Australia, Michelle Richards kepada media AFP.
Landasan kereta api itu dibukakan buat pertama kali semasa penaklukan kerajaan Perancis lagi dan landasan ini digunakan untuk membawa barangan dan orang ramai ke beberapa buah bandar di Vietnam dan juga beberapa buah negara berdekatan seperti Laos dan juga Kemboja.
Semasa Perang Vietnam berlaku, beberapa bahagian kereta api telah rosak dengan teruk disebabkan oleh bom Amerika Syarikat yang telah berjaya menewaskan pihak pemerintahan komunis di kawasan utara Vietnam.
Pada hari ini, landasan ini menjadi pengangkutan utama bagi pelancong-pelancong yang mencari pilihan alternatif yang lebih murah.
Namun sejak beberapa tahun yang lalu, bilangan pelancong ke bandar raya Hanoi semakin meningkat berikutan tapak fotografi yang menakjubkan itu dan tidak mahu melepaskan peluang tersebut.
Berdekatan kawasan perumahan
Dikelilingi dengan rumah dan kafe, landasan kereta api ini menawarkan daya tarikan yang unik untuk para jurugambar dan membuka lagi peluang perniagaan bagi penduduk tempatan untuk memperbanyakkan lagi kedai-kedai di sekitar landasan kereta api ini. Seorang pelancong dari Hong Kong, Edward Tsim berkata bahawa dia sangat terpesona dengan landasan ini kerana ia unik dan pelik.
“Balkoni berbunga, bangunan lama dan dekat antara satu dengan yang lain merupakan sesuatu yang menarik untuk disaksikan. Anda akan dapat menyaksikan sendiri penduduk di sini tinggal begitu dekat dengan landasan kereta api ini,” tambah Edward kepada media.
Sebaik sahaja bayangan kereta api datang, pelancong dan penduduk tempatan akan keluar dari landasan kereta api itu dan menarik keluar telefon bimbit mereka untuk menyaksikan kereta api itu yang melalui laluan itu.
“Rasanya seperti saya sedang menunggu Krismas, dan apabila ia telah sampai, ia menjadi sesuatu yang lain,” kata seorang pelancong dari British, Paul Hardiman.
“Sangat berbaloi untuk ditunggu malah dikunjungi, hebat dan menakjubkan,” tambahnya. – AFP