Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Landskap Kinabatangan dicalon sebagai tapak Rizab Biosfera

    PUTRAJAYA, 3 NOV – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri Sabah mencalonkan Landskap Kinabatangan sebagai tapak Rizab Biosfera, kata Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

    Dalam perutusannya sempena sambutan Hari Rizab Biosfera Antarabangsa hari ini, beliau berkata inisiatif itu diharapkan dapat dicontohi kerajaan-kerajaan negeri untuk mencalonkan kawasan lain yang dilihat berpotensi.

    Rizab Biosfera adalah tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan mampan. Penyertaan Malaysia dalam program MAB bermula pada 26 Mei 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia diikuti dengan Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

    Sehingga kini, terdapat 738 tapak Rizab Biosfera di dalam jaringan rizab biosfera dunia (WNBR) melibatkan 134 negara.

    “Sempena Hari Rizab Biosfera Antarabangsa pada hari ini, saya menyeru semua pihak menggembleng tenaga dan bekerjasama dalam memulihara dan memelihara rizab biosfera demi generasi kita pada masa hadapan,” kata Takiyuddin. – Bernama

    Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia mengekalkan salah satu ekosistem terkaya di dunia, juga diiktiraf sebagai tapak RAMSAR pertama dan terbesar di Sabah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda