Taman berkonsepkan Jepun pertama kali menawan imaginasi orang awam di Amerika Syarikat pada pameran dunia 1893 di Chicago, menjadi ciri-ciri yang amat dicari-cari di estet pada era kegemilangan, dan seterusnya diadaptasi dalam kediaman moden.
Hari ini taman berkenaan telah berkembang, dan terus memberi inspirasi kepada reka bentuk taman pada masa apabila ramai orang cuba menjalin hubungan yang lebih erat di antara ruang dalam dan luar rumah.
“Satu sebab taman mendapat sam-butan menggalakkan di Jepun adalah hubungan kediaman-taman yang didirikan adalah bersifat amat bersepadu. Terdapatnya pemandangan taman yang luas, dan lebih banyak pemandangan yang tidak mempunyai halangan. Taman dipagari dan mengelilingi rumah, yang kelihatan seolah-olah ruang tamu awda menganjur keluar dari rumah,” kata Asher Browne dari Oakland, New Jersey, yang menerima kursus di Kyoto, Jepun dan kini mendirikan taman berinspirasikan Jepun untuk pelanggan di Amerika Syarikat.
“Ciri-ciri estetik berkenaan pastinya mendapat sambutan.”
Reka bentuk taman Jepun di negara ini telah berubah daripada ciri-ciri stereotaip seperti tanglung dan ceri dan mapel Jepun diimport, menurut Sadafumi Uchiyama, ketua kurator Taman Jepun Portland, Oregon dan pengarah Pusat Latihan Taman Jepun Antarabangsa di sana. Uchiyama ialah pekebun Jepun generasi ketiga dari selatan Jepun.
Pada mulanya, taman Jepun di AS ‘meniru tanglung batu, besen air dan batu tempat berpijak. Namun secara beransur-ansur, mereka mula mereka bentuk taman yang lebih asli dan semula jadi. Kini kami melihat lebih mendalam pada kualiti,’ dengan menawarkan lebih banyak buku dan kepakaran.
Terdapat lebih 200 taman awam dengan konsep landskap Jepun di AS, menurut Persatuan Taman Jepun Amerika Utara, yang memaparkan Pencari Taman Jepun Amerika Utara di laman webnya. Taman terkenal termasuk Taman Jepun Portland; Shofuso Japanese House and Garden di Philadelphia; Taman Jepun Anderson di Rockford, Illinois dan Taman Persahabatan Jepun di San Diego.
Browne berkata dari aspek estetik Jepun, ruang taman dikaitkan dengan ruang dalaman supaya setiap pemandangan dari sebuah rumah merupakan pemandangan yang sempurna taman di sekelilingnya.
“Di Jepun sekurang-kurangnya, nampaknya terdapat idea utama yang diwarisi berabad-abad lamanya, dan ia merupakan idea yang membawa keindahan semula jadi ke dalam kehidupan harian,” katanya. Menurutnya, konsep estetik lain yang amat disukai sekarang adalah keseimbangan asimetri dan kecantikan dan kepentingan batu dan batu tongkol sebagai ‘teras’ komposisi, yang seterusnya boleh diisi dengan kaedah tambahan iaitu tumbuh-tumbuhan.
John Powell, pembina taman dan pakar cantas dari Weatherford, Texas, yang menjalani latihan di Jepun, berkata beliau tertarik kepada taman Jepun menerusi ‘hubungan tanpa batasan di antara ruang dalam dan luar, yang menimbulkan dunia semula jadi yang lebih besar, ada kalanya dalam ruang yang amat mampat.”
“Ia adalah satu perubahan besar dari AS, di mana landskap wujud secara tradisi di sana untuk mengindahkan bahagian luar rumah, tetapi amat terpisah dari ruang dalam. Saya fikir hari ini terutamanya, bahawa idea menghubungkan ruang dalam dan luar rumah merupakan satu ciri estetik yang ingin digunakan oleh ramai orang,” jelasnya.
Estetik taman Jepun ‘nampaknya amat senang, tetapi ia adalah perkara paling sukar yang pernah saya bayangkan dalam hidup saya,” jelas Powell. Mengenai aspek kemampanan, timbulnya peralihan besar dalam pemikiran mengenai taman ala Jepun daripada taman spesimen, yang cenderung terasa seperti taman botani, dan penggunaan lebih banyak tumbuh-tumbuhan yang disesuaikan dengan persekitaran tempatan
“Timbulnya kecenderungan besar untuk mewujudkan taman Jepun yang menakjubkan menggunakan kesemua tumbuhan asli,” kata Browne.
Pakar landskap yang mengkhusus dalam estetik taman Jepun berkata salah satu salah tanggapan yang sentiasa timbul adalah taman berkenaan tidak memerlukan penyelenggaraan.
Tidak adanya taman tanpa penyelenggaraan, dan ada kalanya taman Jepun memerlukan lebih banyak penyelenggaraan daripada taman biasa.
“Ia bukan mengenai pembersihan besar-besaran dan projek mencantas, tetapi mengenai langkah kecil. Setiap kali saya berjalan dalam taman, saya mengutip beberapa daun pain, sedikit sampah ataupun daun tumbuhan lain,” kata Uchiyama.
“Di Jepun, hanya kira-kira 20 peratus daripada tanah boleh dihuni, maka orang belajar menjadi alam sekitar mereka. Salah satu caranya adalah melakukan pembersihan dan penyelenggaraan. Ia mengenai satu pendekatan, mengenai keprihatinan dan cara awda melihat keadaan.” – AP