SAN FRANCISCO, 20 JULAI – Netflix semalam berkata langganan kepada perkhidmatan penstriman media meningkat hampir 6 juta susulan tindakan kerasnya terhadap perkongsian kata laluan.
Gergasi penstriman itu menamatkan suku yang berakhir baru-baru ini dengan 238 juta pelanggan dan keuntungan berjumlah AS$1.5 bilion, menurut kenyataan pendapatan.
Penambahan pelanggan berlaku ketika mogok penulis dan pelakon melumpuhkan industri hiburan Amerika Syarikat (AS), tetapi penganalisis mengatakan kedudukan Netflix adalah lebih baik daripada pesaingnya untuk mengharungi krisis yang melanda syarikat.
“Kami sentiasa berunding dengan semua orang di seluruh industri,” kata Ketua Eksekutif Netflix, Ted Sarandos semasa penyampaian pendapatan.
Pendapatan adalah lebih rendah daripada jangkaan dengan Netflix mencatatkan jualan AS$8.2 bilion sepanjang tempoh April hingga Jun, mendorong saham syarikat turun lebih daripada 8 peratus selepas waktu perniagaan di Wall Street.
Netflix pada Mei memperluaskan tindakan kerasnya terhadap pengguna yang berkongsi kata laluan dengan orang di luar keluarga terdekat mereka kerana ia berusaha untuk menambah pendapatan selepas mengalami kesukaran tahun lepas.
Awal tahun ini, syarikat itu mengadu bahawa lebih 100 juta isi rumah berkongsi akaun di perkhidmatan tersebut. – AFP