Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langgar Akta Amanah Pekerja, syarikat didenda $1,800

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap sebuah syarikat atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009.

    Wakil Syarikat Altco Parking telah mengaku bersalah atas pertuduhan iaitu gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP dan Skim SCP bagi pekerja-pekerjanya dalam masa yang ditetapkan.

    Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $1,800 dan syarikat itu diperintahkan untuk membayar denda serta kesemua caruman Skim TAP dan Skim SCP yang tertunggak tidak lewat 21 Mac.

    Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

    Dalam hal itu, bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP mengingatkan para majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman pekerja sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran yang termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

    Bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, para pekerja dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat menerusi hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 7302929 ataupun melalui e-mel enforcement@tap.com.bn.

    Para pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja.

    Bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan log masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

    Gamabar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda