Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seorang lelaki yang didakwa atas tuduhan di bawah akta lalu lintas dan melakukan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dijatuhi hukuman empat bulan penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret.
Muhammad Syahir bin Sahari, 32, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain kerana memandu tanpa perlindungan insurans, memandu tanpa lesen, melarikan diri apabila diarahkan untuk berhenti semasa sekatan jalan raya dan melakukan kekerasan terhadap anggota polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Utama Terunjing menuju ke arah Lebuh Raya Rimba pada 23 November 2017 kira-kira jam 10 malam.
Tertuduh kemudian dikejar polis trafik yang mengarahnya untuk berhenti di tepi jalan.
Tertuduh bagaimanapun gagal untuk mengikut arahan dan menggunakan laluan lain untuk pulang ke rumahnya sebaik melihat polis trafik itu berhenti dan menunggunya di persimpangan lampu isyarat. Sekitar jam 10:40 malam, empat anggota polis trafik tiba di rumah tertuduh.
Tertuduh mengarahkan salah seorang daripada anggota polis itu membuka topi keledar.
Tertuduh kemudian masuk ke dalam rumahnya dan mengambil parang dari dapur kemudian mengacukannya ke arah salah seorang daripada anggota itu.
Dia juga menghentakkan parang itu pada dinding rumahnya sebelum ditenangkan oleh ahli keluarganya. Tertuduh kemudian melarikan diri melalui pintu belakang sebaik terdengar polis membuat panggilan untuk mendapatkan bantuan.
Tertuduh bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Berakas pada 1:16 pagi keesokan harinya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.