Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Langgar perjanjian sewa, ganti rugi Lebih $1.3 juta

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Jumlah ganti rugi yang diputuskan dalam perbicaraan saman sivil telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan di sini, pada 21 Jun lalu, di mana perayu mempertikaikan penilaian kerosakan oleh pendaftar bagi pelanggaran perjanjian penyewaan yang membawa kepada keputusan berkenaan.

    WR Global Holdings Sdn Bhd tidak mempertikaikan bahawa ia telah melanggar perjanjian penyewaan dengan Haji Mohammed Shahri bin Haji Mohd Ali dan Pengiran Hajah Siti Zailan binti Pengiran Haji Syed Shahminan yang merupakan pemilik-pemilik Hotel Riviera, Kuala Belait.

    Mahkamah Rayuan mendapati bahawa kerosakan-kerosakan yang dinilai oleh pendaftar yang membawa kepada ganti rugi berjumlah $1,352,500 kepada pemilik-pemilik hotel berkenaan adalah betul dan mengekalkannya.

    Seperti yang dijatuhkan dalam pertimbangan Mahkamah Rayuan, pada masa perjanjian penyewaan bertarikh 16 Mei 2017, hotel berkenaan telah dilengkapi perabot dan sesuai bagi penghunian.

    Bagaimanapun, disebabkan kekangan kewangan, ia menjadi agak usang dan kadar penghunian adalah kurang daripada 10 peratus.

    Jelas bahawa syarikat berkenaan berniat menggunakan bangunan berkenaan, bukan sebagai hotel sebaliknya bagi ruang pejabat. Perjanjian penyewaan adalah ditetapkan bagi tempoh lima tahun. Sebaik mendapatkannya pada Mei 2017, syarikat tersebut memulakan pengubahsuaian besar-besaran di tingkat pertama dan kedua.

    Hampir kesemuanya ditanggalkan termasuk sistem pembetungan yang menyebabkan semua tingkat-tingkat lebih tinggi tidak mendapat bekalan air. Bagaimanapun, hanya tiga bulan kemudian pada 11 September 2017, syarikat tersebut memberi notis bertulis mengenai niat mereka untuk menamatkan perjanjian penyewaan. Sebagai bukti, syarikat tersebut bersetuju bahawa mereka meninggalkan hotel berkenaan sebagai rangka kosong. Ia tidak dapat didiami.

    Liabiliti tidak dipertikaikan oleh syarikat berkenaan, bagaimanapun, mempertikaikan ganti rugi kerosakan daripada penilaian sewa-sewa disebabkan penolakan, kos pemasangan semula setelah syarikat itu memusnahkan dua tingkat pertama dan mengurangkan nilai hotel berkenaan disebabkan kerja-kerja yang tidak disiapkan.

    Mahkamah Rayuan meneliti semula penilaian pendaftar daripada perjanjian itu dan mendapati bahawa ia dipertimbangkan dengan tepat.

    Mahkamah tidak mendapati sebarang duplikasi penilaian kerosakan dan pemilik-pemilik tidak mendapat keuntungan sebagai akibatnya.

    WR Global Holdings Sdn Bhd diwakili oleh Peguam Lim Rui dari Messrs Ridzlan Lim sementara pemilik-pemilik hotel berkenaan diwakili oleh Peguam Pengiran Izad bin PLKDR Pengiran Haji Bahrin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda