Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT, 27 MEI – Lapan lelaki dan dua perempuan warga asing diarahkan untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Bab 55 (4 )(a) (b) (c) Akta Imigresen Penggal 17 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Warga asing yang diarahkan itu adalah hasil pemeriksaan dalam Operasi Langis Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 65/2021 yang menyasarkan dua buah rumah sewa pekerja asing di Jalan Kerma Negara dan Jalan Binjai, Kuala Belait, kelmarin.
Operasi Langis yang diketuai oleh pemangku ketua pegawai imigresen itu melibatkan enam orang pegawai di mana semasa pemeriksaan dibuat, majikan kepada dua orang perempuan terbabit turut dikeluarkan surat panggilan dan diarahkan hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Kuala Belait untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Ke arah aktiviti penguatkuasaan, jabatan mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama memberikan maklumat mengenai pesalah Imigresen dan sebarang maklumat dan nama pemberi akan dirahsiakan sepenuhnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 8734888, untuk Bandar Seri Begawan manakala 8984111 untuk Kuala Belait.
